Hizbut Tahrir haram, kata kerajaan Johor

Hizbut Tahrir haram, kata kerajaan Johor

Kerajaan Johor juga tidak akan bertolak ansur dengan pendokong fahaman itu berikutan ia sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi mengingatkan Hizbut Tahrir atau mana-mana pihak berhati-hati dalam membuat kenyataan bagi mengelak kekeliruan dan perpecahan masyarakat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor menegaskan dan tetap dengan pendirian Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) adalah pertubuhan haram selain sudah difatwakan bercanggah dengan ajaran Islam dan perlu dielakkan serta tidak boleh disebarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata, kerajaan Johor juga tidak akan bertolak ansur dengan pendokong fahaman itu berikutan ia sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, pendirian itu ditegaskan susulan kehadiran kumpulan yang mendakwa daripada HTM bagi menyerahkan memorandum di Jabatan Mufti Johor, kira-kira 10 pagi, Ahad lalu.

“Jabatan Mufti Johor yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengambil pendirian untuk tidak menerima memorandum itu atas dasar HTM bukan pertubuhan yang berdaftar secara sah, selain fatwa itu sudah diwartakan oleh Warta Kerajaan Negeri Johor pada 10 Oktober tahun lalu.

“Sehingga kini, kerajaan negeri mendapat maklumat terdapat 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah membuat laporan polis pada hari sama, bagi menyatakan pendirian tidak berpuas hati atas tindakan HTM yang dilihat akan cuba memecah-belahkan perpaduan Islam di Johor,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Tosrin berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Johor sentiasa berusaha menyebarluaskan dan memberi kefahaman kepada masyarakat serta umat Islam berkaitan khususnya fatwa kedudukan fahaman Hizbut Tahrir.

“Diharapkan supaya umat Islam di Johor khasnya dan di Malaysia amnya bersatu hati dalam menangani ancaman pengaruh fahaman Hizbut Tahrir daripada tersebar dan mempengaruhi masyarakat Islam,” katanya.

Tosrin turut mengingatkan supaya HTM atau mana-mana pihak berhati-hati dalam membuat kenyataan bagi mengelak kekeliruan dan perpecahan masyarakat.

Terdahulu, kumpulan dikenali HTM membuat kenyataan secara langsung di Facebook Ahad lalu selepas didakwa gagal menyerahkan memorandum kepada Jabatan Mufti Johor.

Pada masa sama Mufti Johor Yahya Ahmad berkata, tidak ada asas bagi pihaknya bertemu kumpulan itu kerana ia bukan pertubuhan berdaftar.

“Jadi kita menganggap ia sebagai pertubuhan haram, selain memang sudah difatwakan sebagai pertubuhan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan perlu dielakkan serta tidak boleh disebarkan,” katanya.

Sehingga kini, seorang pemimpin kanan HTM negeri berusia 40-an masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Syariah Johor Bahru, selepas ditahan ketika memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah pusat penyebaran di Taman Pulai Flora, Skudai, Julai tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.