
Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia (FSGMAM) berkata, keseluruhan rantaian bekalan tidak mempunyai masa yang cukup untuk mematuhi keperluan itu.
Presiden FSGMAM Hong Chee Meng berkata, kenyataan Kementerian Kesihatan pada 25 September lalu menyatakan iodin perlu ditambah ke dalam garam yang beratnya kurang dari 20kg sebelum ia boleh dijual.
“Amat sukar bagi pasaran untuk mematuhinya dalam masa 5 hari. Ia adalah notis singkat,” katanya pengilang dan pengimport perlu diberi masa untuk mematuhi syarat baru itu.
“Terdapat bertan-tan garam disimpan dalam gudang pengilang, pengimport dan pengedar di seluruh negara yang perlu diproses semula supaya ditambah dengan iodin.”
Hong berkata, walaupun kerajaan menyatakan peraturan itu sudah diwartakan pada 2018, tidak ada sebarang komunikasi atau rundingan dengan rantaian bekalan hingga 5 hari lalu.
“Pengumuman ini mengejutkan banyak peniaga dalam industri garam dan peniaga serta peruncit tidak bersedia bagi tujuan itu,” katanya memaklumkan terdapat kekeliruan di pasaran.
“Jika kerajaan berkeras larangan penjualan garam yang tidak mengandungi iodin berdasarkan tarikh akhir itu, kami meramalkan pasaran akan mengalami kekurangan garam di seluruh negara dalam beberapa hari akan datang kerana pemborong dan peruncit perlu menghentikan penjualan garam yang tiada iodin bagi mengelak dikenakan tindakan dan menunggu produk yang memenuhi syarat itu masuk ke pasaran, yang akan mengambil masa.”
Beliau berkata, mereka tidak membantah syarat itu tetapi industri memerlukan masa untuk mematuhinya kerana ia mempengaruhi rantaian bekalan di seluruh negara.
Hong menggesa kerajaan menguatkuasakan syarat baharu itu bermula 1 Jan 2021 dan mempertimbangan kesan ekonomi ketika perniagaan bergelut untuk mengatasi impak Covid-19.