
Virus penularan pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada pengangguran di negara kita. Ramai yang dibuang kerja sehingga menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan cepat.
Salah seorang yang terkesan dengan pandemik ini adalah Ismail Abdul Razak, 35 tahun. Beliau yang bertugas sebagai ‘Quality Control (Inspection)’ di Lumut Perak telah diberhentikan kerja pada 1 April 2020 yang lalu.
“Bila terima surat pemecatan, saya terdiam. Waktu itu di awal Perintah Kawalan Pergerakan. Kecewa dan sedih, itu yang saya rasa apatah lagi bila melihat wajah isteri dan anak-anak. Runsing dibuatnya,”
“Waktu itu kami berada di kampung, tersangkut di sana selama tiga bulan kerana tidak boleh merentas negeri. Jadi, tidak ada apa-apa yang dapat saya buat. Hanya redha dan berserah,” ujar Ismail yang menetap di Puncak Alam, Selangor.
Namun, setelah Perintah Kawalan Pergerakan ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail sekeluarga kembali semula ke kediamannya. Setelah berbincang dengan isteri Nurul Ashirah Binti Harun 37, mereka nekad untuk membuka gerai menjual buah berangan berdekatan dengan kawasan perumahan mereka.

“Berbekalkan modal dan sedikit pengalaman yang ada, kami membuka ‘Gerai Berangan’ pada bulan Jun, 2020. Gerai ini memang sudah sedia ada, kami menggantikan pemilik lama yang telah berniaga di tempat lain,”

“Adatlah mula berniaga, tak ramai yang tahu jadi jualan tidak seberapa. Tetapi lama kelamaan ramai pelanggan yang datang. Ada yang dari Kuala Lumpur, Puchong dan lain-lain tempat. Oleh kerana kami berniaga di tepi jalan jadi ramai yang singgah apabila balik dari bekerja,” ujar bapa kepada dua orang putera ini.
Setelah hampir tiga bulan berniaga, jualan juga meningkat sehingga ada pelanggan yang memesan lebih awal.

Buah berangan dimasak atau disanggai bersama kulitnya menggunakan batu-batu kecil untuk mengelakkan kulitnya dari hangus.
“Buah berangan ni banyak peminat. Tetapi cara memasaknya juga penting agar buahnya sedap dan lemak apabila dimakan. Lagi sedap kalau dimakan panas-panas,”

“Sampai hari ini, ramai yang cari. Kalau cuti dan hujung minggu, jualan akan cepat habis. Alhamdulillah, walaupun untung tidaklah seberapa tetapi cukup untuk menampung keperluan kami sekeluarga. Yang penting kena usaha,” jelasnya.
Ismail membuka gerai buah berangan di tepi jalan sebelum sampai ke Mac Donald Puncak Alam. Gerai dibuka dari jam 11pagi hingga 6petang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]