Nenek bertubuh sasa, selebriti baharu di Cina

Nenek bertubuh sasa, selebriti baharu di Cina

Chen mahu menjadi contoh kepada semua generasi di Cina untuk bersenam dan sihat sepertinya sekaligus membentuk masyarakat yang cergas.

Chen Jifang, 68, semasa bersenam di dalam gim di Shanghai. (Gambar AFP)
SHANGHAI:
Kisah seorang nenek yang mencecah usia 70 tahun mempunyai tubuh sasa dan berotot telah menjadi perbualan hangat di Cina baru-baru ini.

Dalam masa beberapa bulan sahaja, dia muncul terkenal dan menjadi tajuk utama akhbar tempatan di sana.

Chen Jifang nenek sasa, menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam setiap hari di gim dengan melakukan senaman angkat berat yang jarang digemari oleh warga emas seusianya.

Segalanya bermula apabila dia mula mendaftar di sebuah gim pada Disember 2018. Chen berjaya kehilangan 14 kilogram (30 paun) dalam masa tiga bulan dengan perut yang rata dan badan berotot.

Kejayaan luar biasanya ini telah menyebabkan dia mendapat lebih 410,000 pengikut di akaun TikToknya.

Chen mahu menjadi contoh kepada semua generasi di Cina untuk bersenam dan sihat sepertinya sekaligus membentuk masyarakat yang cergas selaras dengan hasrat kerajaan ingin mendorong lebih banyak penglibatan orang ramai dalam aktiviti senaman tanpa mengira usia.

Sekaligus ia membantu usaha kerajaan Cina mendapatkan rakyat yang sihat terutamanya dalam menentang coronavirus yang mula tersebar di Wuhan akhir tahun lalu.

“Selagi masih bernyawa, saya akan terus bersenam,” katanya yang akan menyambut ulang tahun yang ke 68 tahun ini.

Chen, bekas pekerja sebuah syarikat makanan berkata, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu kerana bimbang akan kesihatannya selepas bersara.

“Kali pertama masuk ke gim, semua orang memerhatikan saya. Mungkin mereka merasa pelik melihat wanita warga emas seperti saya menyertai gim,” kata Chen yang mempunyai cucu berusia 14 tahun.

Di bawah pemerhatian jurulatih peribadi, Chen melakukan beberapa senaman menggunakan alat angkat berat untuk membakar lemak dan membina otot badannya.

Chen sebenarnya bukanlah seorang yang aktif, malah tidak pernah mempunyai latar belakang bersukan.

Melihat sekumpulan wanita seusianya menari square dancing di sebuah taman di Shanghai, Chen berkata, mereka tidak akan dapat mencapai kondisi sepertinya walau bagaimana hebat mereka menari.

“Di usia kami ini, wang, kedudukan atau anak-anak bukan lagi penting bagi kami. Tubuh yang sihat tanpa sebarang penyakit, itu yang kami mahukan.” akhiri Chen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.