
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Hajiji Noor berkata, pengumuman tidak dibuat malam tadi kerana mahu ia dilakukan secara bersama-sama dengan semua wakil rakyat GRS.
“Saya mewakili parti-parti dalam GRS akan mengumumkan calon ketua menteri kita pada pagi ini untuk angkat sumpah dihadapan Yang di-Pertua Negeri.
“Pagi ini akan diumumkan. Biar jadi teka teki.
“Ini kerana kita masih menunggu. Banyak wakil rakyat kita dari jauh pendalaman belum lagi sampai,” katanya pada sidang media bersama pimpinan GRS di sini.
Turut hadir dalam sidang media itu Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GRS meraih majoriti mudah pada pilihan raya negeri (PRN) di Sabah ke-16 dengan memenangi 38 daripada keseluruhan 73 kerusi.
GRS merangkumi Perikatan Nasional yang memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).
Dalam pada itu, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan Upko (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi.
Calon Bebas pula menang di 3 kerusi.
Hajiji menghargai keputusan rakyat Sabah yang memberi kepercayaan kepada GRS yang terdiri daripada PN, BN dan PBS dalam PRN kali ini.
Katanya, ini membuktikan rakyat memahami perlunya perubahan dibuat dalam pemerintahan negeri itu
“Segala harapan mereka akan dapat ditunaikan oleh kerajaan GRS yang akan ditubuhkan,” katanya.
Hajiji juga berkata, calon Bebas, Rubin Balang turut hadir dalam sidang media GRS kerana menyokong gabungan itu.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah