APMM rampas syabu RM11.3 juta

APMM rampas syabu RM11.3 juta

APMM percaya dadah itu cuba diseludup ke Indonesia dari Thailand menerusi perairan Langkawi.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata rampasan dadah itu adalah yang terbesar setakat ini bagi APMM Kedah/Perlis. (Gambar Bernama)
LANGKAWI:
Dua penyeludup dadah dipercayai warga asing nekad terjun ke laut di perairan Tanjung Kemarong awal pagi Jumaat, selepas bot nelayan dinaiki mereka membawa 56.5kg syabu bernilai RM11.3 juta dipintas kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata, sehingga kini kedua-dua suspek tersebut belum ditemui dan pihaknya masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mereka.

Bercakap pada sidang media hari ini, Zawawi berkata terdahulu pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan Thailand dari arah negara jiran itu berhampiran Tanjung Kemarong pada 1 pagi.

“Susulan itu, APMM menggerakkan Bot Kilat APMM untuk memintas bot kelas A (bot kecil diperbuat daripada kayu) tersebut dan dalam usaha suspek meloloskan diri, mereka cuba merempuh bot APMM beberapa kali.

“Pasukan kami terpaksa mengejar mereka selama 40 minit sebelum melihat 2 suspek terjun ke laut dari bot berkenaan walaupun keadaan laut ketika itu bergelora,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya ke atas bot itu menemui 2 beg hitam mengandungi 51 bungkusan teh Cina berisi hablur berwarna putih disyaki syabu.

“Kami percaya dadah ini cuba diseludup ke Indonesia dari Thailand menerusi perairan Langkawi. Menerusi modus operandi ini, sindiket biasanya melakukan pemindahan bot iaitu memindahkan dadah dari 1 bot ke bot lain untuk dibawa ke negara destinasi.

“Sindiket penyeludupan dadah ini juga mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan bot nelayan kelas A bagi mengaburi pihak berkuasa selepas kejayaan kita mematahkan 3 cubaan sebelum ini,” katanya, menambah itu kali pertama pihaknya mengesan penggunaan bot kecil dalam penyeludupan dadah di perairan berkenaan.

Beliau berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar setakat ini tahun ini bagi APMM Kedah/Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.