Bung permata belum digilap, setia bila Umno ditinggalkan, kata Zahid

Bung permata belum digilap, setia bila Umno ditinggalkan, kata Zahid

Pengerusi BN itu memberi jaminan pemilihan ketua menteri Sabah tidak akan dipengaruhi mana-mana pihak.

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berkata, kesetiaan kepada parti dan setiakawan Bung Moktar Radin (kanan) boleh dijadikan asas untuk diberikan peluang menerajui Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahidi Hamidi menyifatkan Bung Moktar Radin sebagai permata belum digilap sepenuhnya yang berpeluang besar menerajui Sabah.

Katanya, ketua jentera pilihan raya BN Sabah itu tetap setia dengan Umno walaupun sebahagian besar ketua bahagian meninggalkan parti itu selepas BN tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya yakin permata yang dipilih di DUN Lamag ini akan menyinari seluruh Sabah.

“Bung bukan orang baru, beliau telah lama dengan Umno. Ketika 25 ketua bahagian meninggalkan parti, beliau bersama 2 ketua bahagian lain tetap setia dengan parti,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook malam ini.

Beliau berkata, kesetiaan kepada parti dan setiakawan boleh dijadikan asas untuk diberikan peluang menerajui Sabah.

Bagaimanapun, presiden Umno itu memberi jaminan pemilihan ketua menteri Sabah tidak akan dipengaruhi mana-mana pihak.

Zahid berkata, kuasa autonomi akan diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin Gabungan Rakyat Sabah yang dianggotai BN-PN-PBS untuk menentukan calon ketua menteri mereka.

“Aku janji saya, biarlah orang Sabah yang tentukan siapa ketua menteri mereka tanpa ada telunjuk daripada Putrajaya mahupun Kuala Lumpur.

“Saya yakin kebijaksanaan rakyat Sabah akan diterjemahkan dalam siapa yang akan dilantik menerajui Sabah.”

Katanya, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Sabah selepas tamat tempoh kuarantin.

“Pada 29 Sept, saya bebas bergerak ke mana-mana dan sudah tentu saya akan adakan perbincangan dengan mereka, sama ada saya pergi ke sana (Sabah) atau mereka datang ke sini,” katanya yang sedang menjalani kuarantin 14 hari di rumah selepas menjadi kontak rapat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Muhammad Rafii yang positif Covid-19 baru-baru ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh mengumumkan GRS memenangi 37 daripada 65 kerusi yang dikira setakat 11.30 malam ini.

Warisan Plus pula memenangi 26 kerusi dan bebas (2).

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah kali ini.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.