
Ia disampaikan Penolong Penasihat Undang-undang Selangor, Siti Fatimah Talib kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dalam prosiding Mahkamah Persekutuan hari ini.
Kerajaan Selangor satu-satunya defendan dalam cabaran berperlembagaan itu.
Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan pihak media atas permintaan peguam A Surendra Ananth, memfailkan permohonan rasmi Julai lalu untuk mendapatkan perintah mahkamah merahsiakan identitinya.
Lelaki itu berkata, ia bertujuan melindungi dirinya daripada gangguan dan keselamatannya.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan mahu menjadi pencelah dalam petisyen lelaki berkenaan.
Peguam Halimatunsa Diah Abu Hamad dan Abdul Rahim Sinwan masing-masing mewakili Majlis Agama Islam Selangor serta Wilayah Persekutuan.
Siti Fatimah berkata, Selangor menyokong usaha kedua-dua majlis agama itu menjadi pencelah.
Abang Iskandar kemudiannya mengarahkan 2 majlis agama itu memfailkan afidavit dan penghujahan bertulis selewat-lewatnya 5 Okt atas bantahan untuk identiti lelaki terbabit dirahsiakan dan menjadi pencelah.
Semua permohonan itu akan didengar 6 Okt ini.
Surendra berkata, hakim akan mendengar permohonan pencelah terlebih dahulu, disusuli permohonan lelaki itu untuk merahsiakan identitinya.
Pada 14 Mei lalu, Abang Iskandar yang bersidang bersendirian, membenarkan pemohonan kebenaran lelaki itu yang difailkan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.
Lelaki itu didakwa di Mahkamah Rendah Syariah tahun lalu kerana cuba melakukan seks luar tabii dengan beberapa lelaki tertentu di Selangor pada November 2018.
Di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, ia adalah kesalahan bagi sesiapa saja melakukan “persetubuhan bertentangan hukum tabii” dengan mana-mana lelaki, wanita atau haiwan.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara maksimum 3 tahun atau disebat maksimum 6 kali atau kombinasi hukuman itu.
Lelaki itu turut ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahan dan keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Dia memohon perisytiharan peruntukan itu tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri Selangor tiada bidang kuasa untuk meluluskan undang-undang itu.
Katanya, hanya Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang jenayah, seperti yang diperuntukkan di bawah Senarai Pertama Perlembagaan Persekutuan.