Hakim dengar kes Anwar, Karpal tak patut sertai jawatankuasa etika, kata peguam

Hakim dengar kes Anwar, Karpal tak patut sertai jawatankuasa etika, kata peguam

Peguam yang mewakili Hamid Sultan Abu Backer enggan mendedahkan identiti hakim yang tidak patut menganggotai Jawatankuasa Etika Hakim.

Hakim Hamid Sultan Abu Backer ketika menjawab notis tunjuk sebab pada 8 Sept lalu mempertahankan keseluruhan kandungan satu afidavit dan juga 101 halaman penghakiman yang disampaikannya pada awal Jun.
PETALING JAYA:
Seorang peguam yang mewakili Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer menulis surat kepada ketua hakim negara untuk mengecualikan beberapa hakim bersidang dan bekas hakim daripada membicarakan respons anak guamnya terhadap notis tunjuk sebab.

Joy Wilson Appukuttan berkata, mereka ialah hakim yang mengadili dan membuat penghakiman dalam perbicaraan kes liwat ke-2 Anwar Ibrahim dan kes hasutan mendiang Karpal Singh.

“Kami tidak mahu mana-mana hakim yang mempunyai kaitan dengan 2 kes itu menganggotai Jawatankuasa Etika Hakim untuk menentukan notis tunjuk sebab itu,” katanya kepada FMT.

Joy berkata, beliau menghantar sepucuk surat kepada pengerusi jawatankuasa itu yang juga Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat minggu lalu berhubung siapa yang tidak patut menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti hakim terbabit.

Di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010, keanggotaan jawatankuasa itu mesti dalam jumlah ganjil.

Keanggotaan perlu terdiri daripada individu yang memegang atau mempunyai jawatan sebagai presiden Mahkamah Rayuan, ketua hakim Mahkamah Tinggi Malaya, ketua hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi yang difikirkan sesuai dilantik oleh ketua hakim negara.

Seksyen 5 (2) akta itu menyatakan ketua hakim negara perlu menjadi pengerusi jawatankuasa itu, kecuali beliau ialah pengadu, yang mana hakim kanan seterusnya akan menjadi pengerusi.

Hamid mendedahkan dakwaan campur tangan kehakiman dalam sebuah persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur pada Ogos 2018.

Ia disusuli anak perempuan Karpal, Sangeet Kaur Deo memfailkan saman pemula terhadap ketua hakim negara atas kegagalan mempertahan dan melindungi integriti badan kehakiman pada awal 2019, tetapi ia ditolak Oktober lalu.

Hamid, yang dijadualkan bersara tahun depan, kemudiannya memfailkan afidavit 65 halaman untuk menyokong tindakan Sangeet.

Bulan lalu, FMT melaporkan jawatankuasa itu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Hamid berhubung afidavit itu dan keputusan yang beliau buat dalam satu rayuan jenayah membabitkan 2 warga Nigeria.

Hamid, yang mengetuai panel 3 hakim, antara lain, menyatakan badan kehakiman diharapkan bertindak sebagai semak dan imbang terhadap eksekutif dan perundangan seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 8 Sept lalu, Hamid menjawab notis tunjuk sebab itu, yang sumber beritahu FMT agak mengejutkan, di mana hakim itu mempertahankan keseluruhan kandungan afidavit itu dan juga 101 halaman penghakiman yang disampaikannya pada awal Jun.

Ini kali pertama notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada seorang hakim sejak kod etika itu digubal pada 2009.

Mereka yang melanggar kod etika itu boleh diberikan amaran atau penggantungan atau ketua hakim negara boleh mencadangkan kepada perdana menteri untuk Agong menubuhkan tribunal bagi memecat hakim terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.