
Hal ini susulan kenyataan Shafie berhubung siasatan inkues yang sedang dijalankan mengenai kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Menurut Bernama, TPR Mohd Fairuz Johari yang bertindak selaku pegawai pengendali inkues, mendedahkan perkara itu ketika ditanya Koroner Amir Shah Amir Hassan mengenai status notis tunjuk sebab yang telah dikeluarkan kepada ahli politik terbabit pada 22 Sept.
Pada 2 Okt, Dusuki mengesahkan beliau telah menerima jawapan bertulis pada 29 Sept daripada Shafie berhubung notis tunjuk sebab yang dikeluarkan berkaitan kenyataan mengenai inkues itu.
Pejabat Peguam Negara (AGC) menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian selesai.
Notis itu dikeluarkan pada 22 Sept berkaitan kenyataan Shafie semasa acara ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’ pada 20 Sept.
Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues, dalam klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial.
Dalam video itu, Shafie kedengaran berkata: “Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama.”
Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan daripada Pengarah Kanan di Pusat Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan Jabatan Kimia Malaysia, Selangor Nor Aidora Saedon, 52.
Saksi ke-17 itu memberi keterangan bahawa kesan darah yang terdapat pada dua helaian kertas diari mengandungi tulisan tangan Zara Qairina sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada spesimen tulang remaja terbabit.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran dengan asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Setakat ini, sebanyak 17 saksi termasuk lapan kanak-kanak telah memberi keterangan dalam inkues yang bermula 3 Sept.
Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan saksi kanak-kanak.