Pendakwa fail rayuan pembebasan Siti Kasim

Pendakwa fail rayuan pembebasan Siti Kasim

Siti dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 21 Ogos daripada tuduhan menghalang pegawai Jawi menjalankan tugas.

Peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan kerajaan berhubung salah tangkapan dan penahanannya secara tidak sah.
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan kes Siti Kasim yang dituduh menghalang tugas pegawai jabatan agama ketika serbuan dalam acara ratu cantik transgender memfailkan rayuan terhadap pembebasan peguam dan aktivis itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Saha Deva Arunasalam yang mewakili Siti kepada pemberita selepas sebutan kes saman wanita itu berhubung salah tangkapan dan penahanan secara tidak sah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau berkata, rayuan pihak pendakwaan itu dibuat pada 27 Ogos lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan 28 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes itu, Siti menuntut ganti rugi daripada Jawi dan kerajaan berhubung salah tangkapan dan penahanannya secara tidak sah, sementara menunggu keputusan rayuan pihak pendakwaan.

Siti dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 21 Ogos lalu terhadap pertuduhan menghalang pegawai Jawi, Nor Jihan Saleh daripada menjalankan tugasnya semasa serbuan ke atas acara ratu cantik transgender pada 3 April 3 2016.

Majistret memutuskan pertuduhan terhadap Siti mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan adalah cacat kerana tidak menyatakan cara halangan itu berlaku.

Siti memulakan tindakan sivil terhadap Jawi dan kerajaan tahun lalu, menuntut ganti rugi kerana salah tangkapan dan penahanan secara tidak sah.

Beliau menyatakan “hilang kebebasan” selama 4 jam selepas ditahan oleh pegawai Jawi pada 3 April 2016 dan berdepan kejutan, penghinaan serta penderitaan mental.

Katanya, dia hanya menjalankan tugas sebagai peguam ketika serbuan itu dan menegaskan tidak menghalang pegawai terbabit daripada menjalankan tugas mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.