Mahkamah kekalkan pembebasan wanita dituduh bunuh pembantu rumah warga Indonesia

Mahkamah kekalkan pembebasan wanita dituduh bunuh pembantu rumah warga Indonesia

Tiada apa dalam rekod yang menunjukkan pihak pendakwaan berhasrat untuk meneruskan perbicaraan selepas memanggil 3 saksi.

Ambika MA Shan (kanan) dan anaknya, Jayavartiny Rajamanickam (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas dituduh berhubung kematian Adelina Lisao pada 2018. (Gambar Fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan seorang wanita yang dituduh membunuh pembantu rumah warga Indonesia 2 tahun lalu.

Barisan hakim 3 anggota itu yang dipengerusikan Yaacob Md Sam berkata tiada kesilapan dalam keputusan Hakim Akhtar Tahir membebaskan Ambika MA Shan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Kami berpuas hati bahawa hakim menjalankan kuasanya dengan betul,” katanya ketika menolak rayuan pihak pendakwaan. Beliau mempengerusikan rayuan itu bersama Abu Bakar Jais dan Nordin Hassan.

Yaacob berkata tiada apa dalam rekod yang menunjukkan pihak pendakwaan berhasrat untuk meneruskan perbicaraan selepas memanggil 3 saksi.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi betul dan wajar.”

Ambika, yang didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pembantu rumahnya, Adelina Lisao, tiada di mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Dusuki Mokhtar, berhujah hakim ketika itu terkhilaf dalam keputusannya untuk membebaskan responden, walaupun pihak pendakwaan meminta dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Katanya, pakar kimia dan 2 pemberita memberikan keterangan tetapi DPP ketika itu memaklumkan kepada Akhtar bahawa “pada waktu ini” tiada saksi lain.

“Bagaimanapun, DPP tidak maklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan ada membuat representasi kepada pihak pendakwaan,” katanya, dan menambah pihak pendakwaan tidak perlu beri sebab bila DNAA diminta.

Abu Bakar dan Nordin berkata DPP seharusnya minta kes ditangguhkan sementara menunggu keputusan representasi itu.

Peguam, Y Anbananthan, berhujrah hakim diberi budi bicara untuk membebaskan atau beri DNAA sekiranya tiada lagi saksi daripada pihak pendakwaan selepas perbicaraan bermula.

Pada 19 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh Adelina, 26, yang meninggal dunia kerana kegagalan organ. Adalah didakwa mangsa didera di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Kira-kira 30,000 orang menandatangani petisyen menuntut penjelasan daripada pihak pendakwaan tentang pembebasan itu.

Media melaporkan jiran ternampak Adelina tidur bersama seekor anjing di perkarangan rumah Ambika dan terdapat kesan lecur dan lebam pada tubuhnya.

Akhtar dalam penghakimannya menjelaskan tertuduh dibebaskan di tengah-tengah perbicaraan kerana peguam kerajaan tidak memberikan alasan yang sah untuk DNAA.

Katanya, peguam pembela, merujuk kepada Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah, menggesa mahkamah membebaskan Ambika atas sebab usia dan kesihatan.

“Menurut Seksyen 254(3), ternyata mahkamah dalam keadaan tertentu diberi budi bicara untuk memerintahkan pembebasan dan bukan DNAA,” katanya.

Akhtar bagaimanapun menambah Ambika hanya dibebaskan daripada tuduhan membunuh, dan pihak pendakwaan masih boleh mendakwanya atas kesalahan lain jika mahu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.