Kerugian industri binaan turun kepada RM6.9 bilion selepas sub sektor dibuka, kata menteri

Kerugian industri binaan turun kepada RM6.9 bilion selepas sub sektor dibuka, kata menteri

Fadillah Yusof berkata, kerugian itu berkurangan selepas 13 sub sektor beroperasi semula pada 15 April lalu.

Fadillah Yusof berkata, kerugian itu termasuk 30% atau RM3.3 bilion akibat pengangguran pekerja binaan dan 42% atau RM4.6 bilion disebabkan kemerosotan penggunaan bahan binaan.
KUALA LUMPUR:
Kerugian industri pembinaan berkurangan daripada RM11.6 bilion kepada RM6.9 bilion, selepas 13 sub sektor dibenarkan beroperasi semula 15 April lalu, kata Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof.

Katanya, kerugian sebanyak RM11.6 bilion itu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan fasa pertama dan ke-2 pada 18 Mac hingga 14 April lalu.

Ketika berucap dalam sesi libat urus penggiat industri bersamanya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed hari ini, Fadillah berkata, beberapa impak ketara meliputi isu kewangan, penyampaian projek dan kekangan tenaga kerja juga dikenal pasti sebelum 13 sub sektor dibuka semula.

Ia termasuk kerugian 30% yang berjumlah RM3.3 bilion akibat pengangguran dalam kalangan pekerja binaan dan 42% atau RM4.6 bilion disebabkan kemerosotan penggunaan bahan binaan.

Sabtu lalu, Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee dilaporkan berkata, 29% kerugian yang direkodkan itu disebabkan pengangguran dalam kalangan pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.

Kebanyakan pekerja pembinaan kembali bekerja ketika tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), bagaimanapun pihak industri hanya boleh beroperasi pada kapasiti 80%.

Foo berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas insentif dan pakej yang diperkenalkan untuk membantu pemulihan industri, serta berharap moratorium pembayaran pinjaman untuk syarikat berkaitan pembinaan dapat dilanjutkan selama 6 bulan lagi sehingga Mac 2021.

Sementara itu, Fadillah berkata, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sejak 20 April hingga 20 Sept lalu ke atas 7,590 tapak pembinaan bina mendapati 149 projek pembinaan belum beroperasi.

Beliau berkata, 45 daripada 149 tapak pembinaan itu tidak dapat beroperasi semula akibat faktor kewangan.

“Pihak kementerian dimaklumkan kurangnya kemudahan dan tiada kelonggaran syarat atau pertimbangan khusus diberikan pihak bank kepada syarikat pembinaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menyebabkan industri berdepan masalah.

“Kementerian Kerja Raya sangat prihatin dengan situasi ini dan cabaran yang dihadapi penggiat industri pembinaan pada masa ini.”

Katanya, pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan untuk membantu pemulihan industri pembinaan yang terjejas akibat Covid-19 dan kementeriannya sedang merangka inisiatif serta program berasaskan industri pembinaan digital untuk menyokong perancangan pertumbuhan ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang dibangunkan Kementerian Kerja Raya ialah sistem binaan berindustri (IBS), model maklumat bangunan (BIM), inovasi bahan binaan dan pembangunan fokus baru industri, iaitu senggara infrastruktur.

“Ini dilihat akan memberi ruang memperkukuh penyampaian pelaksanaan projek, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, mengoptimum sumber kewangan dan bukan kewangan agar selari aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.