
Menurut laporan Al-Jazeera, klip video yang tular di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan memegang sepanduk dan melaungkan slogan menggesa presiden itu meletak jawatan.
Terdapat insiden membakar kereta polis, manakala sebahagian mereka membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang menghalang mereka.
Puluhan orang berdemonstrasi di daerah al-Basateen, sebuah kawasan kejiranan besar di selatan Kaherah dan di beberapa kejiranan yang terletak di sekitarnya.
Penunjuk perasan juga berarak di Maadi, sebuah kawasan yang menempatkan kedutaan dan kediaman warga asing, selain kelas menengah dan pekerja serta di Madinat Nasr, pinggir bandar Kaherah.
Di beberapa tempat, pasukan keselamatan melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata bagi menyurai penunjuk perasaan.
Mesir memasuki tahap kesiagaan yang tinggi selepas bekas kontraktor ketenteraan Mohamed Ali melancarkan demonstrasi antikerajaan pada Sept 20 untuk memperingati ulang tahun pertama demonstrasi sedemikian sejak ia dilancarkan di negara itu.
Menurut laporan media tempatan, banyak kedai di seluruh terpaksa ditutup pada Isnin.
Ribuan orang berarak di banyak bandar di Mesir pada September tahun lepas menggesa peletakan jawatan el-Sisi susulan demonstrasi yang dilancarkan oleh Ali.
Beliau yang juga merupakan pelakon dan peniaga berkata, syarikatnya dipergunakan untuk menjalankan projek bagi pihak tentera Mesir.
Menurut Amnesty International, pihak berkuasa melancarkan “operasi menekan besar-besaran” di bawah pemerintahan el-Sisi, dengan menahan lebih daripada 2,300 orang.
Pasukan keselamatan bertindak awal sebelum demonstrasi pada Ahad dengan melancarkan kempen penahanan, melibatkan pemimpin politik, termasuk pemikir politik Amin al-Mahdi dan beberapa aktivis, terutamanya di bandar timur Suez.
Selain penahanan pemimpin pembangkang dan aktivis, media prokerajaan melabelkan pihak yang terlibat dalam demonstrasi sebagai sebahagian daripada konspirasi yang datang dari luar untuk menggulingkan kerajaan.