Campur tangan tentera dalam politik Pakistan, pembangkang desak Imran Khan letak jawatan

Campur tangan tentera dalam politik Pakistan, pembangkang desak Imran Khan letak jawatan

Mereka juga berikrar untuk melancarkan demonstrasi di seluruh negara bagi menjatuhkan kerajaan diketuai Imran.

Pemimpin pembangkang Pakistan Bilawal Bhutto Zardari meminta institusi ketenteraan tidak memainkan sebarang peranan dalam politik negara itu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Parti pembangkang Pakistan pada Ahad mendesak Perdana Menteri Imran Khan meletak jawatan atas alasan pembabitan tentera negara itu dalam politik, menurut laporan South China Morning Post.

Mereka juga berikrar untuk melancarkan demonstrasi di seluruh negara bagi menjatuhkan kerajaan diketuai oleh Imran.

“Kami mendesak Perdana Menteri Imran Khan… meletak jawatan segera,” kata Maulana Fazalur Rehman dalam sidang media selepas pertemuan melibatkan pelbagai parti politik di Islamabad.

Parti Sunni Jamiat Ulema-e-Islam, diketuai oleh Rehman, sebahagian daripada pakatan pembangkang Gerakan Demokratik Pakistan, bercadang melancarkan perhimpunan dan demonstrasi awal bulan depan.

Selain itu, anggota Parlimen pembangkang juga mengancam meletak jawatan untuk memaksa pilihan raya diadakan.

“Kami meminta supaya institusi (ketenteraan) tersebut tidak memainkan sebarang peranan dalam politik,” kata Bilawal Bhutto Zardari, ketua Parti Rakyat Pakistan.

Terdahulu, semasa bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif menyampaikan ucapan pada persidangan itu melalui video dari London, beliau berkata pasukan tentera campur tangan dalam kerajaan diketuai Imran melalui pilihan raya yang dimanipulasi.

“Perjuangan kami menentang mereka yang mengawal Imran Khan dan memanipulasi pilihan raya untuk membiarkan orang yang tidak berwibawa seperti beliau berkuasa dan akhirnya menghancurkan negara ini,” kata Sharif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.