
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Operasi Benteng, 3 tekong dan seorang penyeludup berjaya diberkas dalam usaha negara mengekang penularan wabak Covid-19.
“Turut dirampas 14 kenderaan darat. Sebanyak 82 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan polis (60 SJR), AKSEM (10 SJR), dan tentera (12 SJR).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.
“Agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan, terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya menerusi kenyataan harian berhubung perkembangan PKP dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.
Ismail turut memaklumkan, 93 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan PKP, termasuk hadir ke kelab malam.
“Daripada jumlah itu, 85 individu dikompaun, manakala 8 direman. Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk tidak memakai pelitup muka (33), penjarakan fizikal (32), aktiviti dalam pub/kelab malam (14), premis beroperasi tanpa kebenaran (7), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (6), dan gagal kemukakan surat kebenaran keluar/masuk kawasan PKPD (1),” katanya.
Dalam perkembanhan sama, Ismail berkata, sehingga 19 Sept 2020, sebanyak 268 kertas siasatan dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.
“Daripada jumlah itu, 131 masih dalam siasatan, manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 diberikan notis amaran, 16 dalam proses perbicaraan dan 19 mengaku bersalah.
“Pada masa yang sama, sebanyak 370 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya.