Bahaya keracunan karbon monoksida pada kereta lama, sistem ekzos diubah suai

Bahaya keracunan karbon monoksida pada kereta lama, sistem ekzos diubah suai

Pakar automotif, Chew Kim Loong menasihatkan pemandu tidak tidur dalam kereta dengan enjin masih hidup.

Seorang pakar automotif berkata, pengawal selia pengangkutan dan alam sekitar perlu melakukan pemeriksaan berkala ke atas semua kereta yang banyak diubah suai atau berusia lebih 10 tahun, untuk pelepasan berlebihan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang pakar automotif berkata, selain mengetahui bahaya berada dalam kereta dengan enjin masih hidup, kesedaran menjaga sistem ekzos dalam keadaan baik juga penting.

Kenyataannya menyusul satu kejadian yang meragut 3 nyawa wanita dan seorang lagi masih dirawat di unit rawatan rapi hospital akibat keracunan karbon monoksida.

Empat wanita itu ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah MPV di tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Sama Gagah di kawasan Lebuhraya Utara Selatan Rabu lalu.

Ahli akademik kajian automotif, Chew Kim Loong berkata, punca utama karbon monoksida boleh bocor ke dalam kereta ialah penukar bermangkin dikeluarkan, penapis ekzos antara enjin dan hujung paip dan kereta lama.

Katanya, penukar pemangkin itu, yang pada dasarnya menapis 60% gas berbahaya dihasilkan enjin, dikeluarkan oleh peminat kereta untuk meningkatkan prestasi kereta.

Chew berkata, karbon monoksida dan gas berbahaya lain boleh memasuki kereta melalui saluran penghawa dingin dan bahagian berliang kereta.

“Banyak kedai ekzos kereta melakukannya. Potong penukar pemangkin, gantikannya dengan kotak palsu atau ‘peluru’, yang tidak menapis apa-apa. Semuanya demi meningkatkan prestasi (kereta).

“Dengan berbuat demikian, mereka membahayakan nyawa mereka kerana peluang karbon monoksida memasuki kereta anda adalah tinggi dan pada masa sama, merosakkan alam sekitar.

“Mereka yang mahukan kuasa perlu memilih penukar pemangkin jenis prestasi. Tetapi, ramai yang mengambil jalan pintas disebabkan harga, kemudahan dan kurang penguatkuasaan,” kata pengurus latihan di College Despark, Petaling Jaya kepada FMT.

Pengurus latihan College Despark, Chew Kim Loong

Chew berkata, punca lain kebocoran karbon monoksida ialah enjin yang banyak diubah suai, dengan bahan api tidak terbakar dihantar terus ke hujung paip.

“Petrol tidak terbakar ini akan dipam keluar sebagai hidrokarbon dalam ekzos. Ia berbahaya jika terhidunya.”

Katanya, kereta lebih usang juga berisiko kerana ramai pemilik tidak tahu keperluan memerisak dan menggantikan sistem ekzos mereka.

Beliau menggesa Puspakom untuk tampil dan menasihatkan pemandu berbuat demikian.

“Pusat diagnosis kereta berkomputer (di Puspakom) dilengkapi peralatan untuk memeriksa kenderaan bagi kebocoran 4 gas – karbon monoksida, hidrokarbon, nitrus oksida dan karbon dioksida.

“Itu sebabnya di sesetengah negara, mereka lebih suka anda melupuskan kenderaan anda selepas ia berusia 5 tahun. Ada alasan baik untuk dasar sedemikian.”

Chew berkata, susulan kejadian terbaru yang menyebabkan 4 wanita tidak sedarkan diri ketika tidur dalam kereta dengan enjin masih hidup, adalah wajar pengeluar kereta memberi amaran kepada pemandu tidak berbuat demikian dengan menyatakan dengan jelas dalam manual kereta.

Beliau turut menasihatkan pemandu tidak tidur dalam kereta dengan enjin masih hidup.

“Bagaimanapun, jika anda perlu tidur, buka tingkat untuk ventilasi bersilang dalam kereta.”

Katanya, sistem penyaman udara perlu ditetapkan untuk peredaran semula udara apabila tidak bergerak dan hanya memilih udara segar (dari luar) masuk ketika kereta bergerak.

“Ini kerana karbon monoksida ialah gas ringan dan mudah hilang ketika bergerak. Itu sebabnya walaupun dalam kesesakan lalu lintas, karbon monoksida bukan ancaman kerana kenderaan bergerak dan gas ini akan ditiup angin.

“Musuh sebenar di sini ialah kereta tidak bergerak.”

Beliau menggesa pengawal selia pengangkutan dan alam sekitar melakukan pemeriksaan berkala ke atas semua kereta yang banyak diubah suai atau berusia lebih 10 tahun, untuk pelepasan berlebihan.

Katanya, mereka yang mengeluarkan penukar pemangkin perlu dihukum dan semua kereta tidak patut melebihi 200 ppm dari segi pelepasan ekzos, merujuk piawaian yang ditetapkan kerajaan California di Amerika Syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.