Gurdwara catat warna-warni khidmat anggota Sikh dalam pasukan polis Malaya

Gurdwara catat warna-warni khidmat anggota Sikh dalam pasukan polis Malaya

Menurut Hardev Singh, Presiden Gurdwara Sahib Polis, Jalan Petaling, sejarahnya boleh dijejak kembali ke 1870s apabila Kapten Tristram Speedy, seorang bekas penyelia polis, mula mengupah Sikh dari India untuk bekerja dalam pasukan polis Malaya.

Gurdwara polis di Jalan Petaling yang dibina pada 1898 dikhaskan untuk kegunaan anggota pasukan polis Malaya berketurunan Sikh.
KUALA LUMPUR:
Lebih 100 tahun lalu, komuniti Sikh di Jalan Petaling membina gurdwara (kuil Sikh) yang pertama di Malaysia di situ. Ia adalah untuk kegunaan anggota pasukan polis Malaya yang berketurunan Sikh ketika itu.

Menurut Hardev Singh, presiden Gurdwara Sahib Polis, Jalan Petaling, sejarah mereka boleh dijejak kembali ke tahun 1870-an apabila Kapten Tristram Speedy, seorang bekas superintendan polis, mengambil orang Sikh dari India untuk bekerja dalam pasukan polis Malaya.

Hardev, bekas penolong pengarah sekretariat Cawangan Khas di Bukit Aman berkata, orang Sikh pada mulanya dibawa masuk membantu Ngah Ibrahim, orang besar di daerah Larut, Perak, untuk memulihkan keamanan dan peraturan di daerah itu.

Bahagian depan asal gurdwara di Jalan Petaling.

Beliau berkata, selepas “pasukan Sikh” itu berjaya mengurangkan konflik antara kongsi gelap Ghee Hin (Kantonis) dan Hai San (Hakka), lebih ramai orang Sikh dibawa ke Malaya untuk menyertai pasukan polis.

Hardev, yang turut terlibat dalam pemeterian perjanjian damai Hat Yai 1989 yang menandakan tamatnya pemberontakan komunis di Malaysia berkata, Speedy mengetahui keberanian dan kesetiaan orang Sikh semasa beliau berada di India.

“Selepas mencapai kejayaan di Larut, lebih ramai orang Sikh diambil berkhidmat dalam pasukan polis di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS).

Bahagian dalam gurdwara di mana Guru Granth Sahib (kitab suci) ditempatkan.

“Selepas itu, mereka juga diambil bekerja di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ramai anggota komuniti Sikh yang bekerja sebagai pengintip bagi mendapatkan maklumat mengenai komunis kerana mereka mahir keadaan dalam hutan.

Selepas lebih ramai anggota polis Sikh dibawa dari India, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya di bawah FMS membina gurdwara di Jalan Petaling itu pada 1898.

Presiden Gurdwara Hardev Singh memegang dulang tembaga besar yang digunakan oleh anggota polis Sikh 100 tahun lalu untuk menguli doh untuk membuat capati.

Ia merupakan kuil polis yang ke-2 di Malaya. Kuil pertama dibina di Jalan Parlimen yang juga terletak di Kuala Lumpur pada 1890.

“Balai polis Jalan Petaling berada di dalam kawasan gurdwara,” kata Hardev, dengan menambah bahawa kuil itu juga digunakan sebagai sekolah Punjabi yang pertama di Malaya untuk anak-anak anggota polis pada tahun 1930-an

Menurut Hardev, terdapat sekitar 200 keluarga Sikh di Jalan Petaling pada zaman itu.

Kuil itu juga digunakan sebagai rumah transit bagi anggota polis sementara menunggu penempatan mereka. Terdapat 7 atau 8 bilik di situ.

Sukarelawan mencuci pinggan mangkuk selepas acara berdoa pada pagi Ahad.

Sehingga hari ini, dinding asal gurdwara masih teguh dan dicat dengan putih dan biru bagi melambangkan sejarahnya.

Setiap pagi Ahad, anggota polis yang telah bersara bersara dan keluarga mereka akan datang ke kuil untuk memasak sarapan, berdoa dan bergaul antara satu sama lain.

“Datuk dan ayah kami membesar di sini. Kami kenal antara satu sama lain. Kami macam satu keluarga yang besar kerana kami juga kenal cucu antara satu sama lain,” kata Hardev.

Sami yang paling lama berkhidmat di gurdwara tersebut, Sham Singh, sudah berkhidmat selama 56 tahun sejak 1910.

Hardev menunjukkan bahagian gurdwara yang dirosakkan anai-anai.

Hardev berkata, oleh sebab gudwara itu dibina di atas tanah kerajaan maka jawatankuasanya tidak pernah menjalankan kerja pengubahsuaian walaupun terdapat sebahagian daripada bumbung dan dinding kayunya dimakan anai-anai.

Beliau berkata, keadaan itu bertambah buruk semasa tempoh perlaksanaan perintah kawalan pergerakan pada Mac yang menyaksikan gudwara itu ditutup.

“Harapan kami ialah kuil tersebut diberi status warisan. Selepas kami mendapat status warisan, kami boleh mulakan kerja baik pulih,” kata beliau.

Beliau berkata, gudwara itu popular dalam kalangan pelancong di Jalan Petaling. Ia merupakan tapak berkaitan agama yang mesti dilawati di kawasan itu bersama-sama dengan Masjid Negara, Kuil Maha Mariamman dan Gereja St Mary yang berdekatan.

“Pelancong melawati tempat tersebut kerana ia sebahagian daripada jejak warisan agama. Kami berharap kerajaan akan mewartakan gurdwara ini sebagai sebuah bangunan warisan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.