Mahkamah tolak permohonan kerajaan batal cabaran status Islam lelaki

Mahkamah tolak permohonan kerajaan batal cabaran status Islam lelaki

Hakim Mahkamah Tinggi berkata permohonan itu masih terlalu awal untuk diterima pada peringkat ini.

Mahkamah KL
Shehzad Malik Sarwar Malik memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau seorang penganut Sikh dan tidak pernah menganut Islam.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membatalkan usaha seorang lelaki mencabar status agamanya.

Hakim Aliza Sulaiman berkata terlalu awal untuk mahkamah menerima permohonan itu pada peringkat ini.

“Terdapat isu perlu dibicarakan dan ditentukan mahkamah,” katanya semasa menyampaikan keputusan secara dalam talian hari ini.

Shehzad Malik Sarwar Malik memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau ialah seorang penganut Sikh dan tidak pernah memeluk Islam.

Peguam MAIWP, Ahmad Kamal Abu Bakar dan Arik Zakri Abdul Kadir berhujah kes ini sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana melibatkan isu keluar daripada Islam, bukan penukaran agama.

Shehzad mempunyai bapa beragama Islam dari Pakistan dan ibu beragama Sikh.

“Seorang ibu beragama Islam tidak boleh menukar bayi Muslim kepada agama Sikh. Dia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” kata Kamal.

Peguam Kanan Persekutuan Zairani Tugiran yang mewakili kerajaan pula berhujah Shehzad sendiri pernah menyatakan dirinya sebagai muslim ketika mengisi borang permohonan kad pengenalan.

Menurut MAIWP dan kerajaan, Shehzad dilahirkan sebagai muslim kepada ibu bapa muslim, jadi sebarang tuntutannya perlu dibawa ke Mahkamah Syariah.

Kamal berhujah cabaran undang-undang di mahkamah sivil ini tidak mempunyai asas kukuh dan patut ditolak.

Namun, peguam Shehzad, Rajesh Nagarajan, menegaskan kes itu tidak boleh ditolak begitu sahaja pada peringkat awal kerana masih ada isu perlu ditentukan oleh mahkamah sivil.

Beliau berkata Shehzad dibesarkan oleh ibu dan bapa saudaranya sebagai seorang penganut Sikh.

“Itulah sebabnya kami bawa kes ini ke mahkamah sivil, kerana pendirian kami ialah beliau sejak awal bukan seorang Muslim,” kata Rajesh yang dibantu oleh Amanda Sonia Mathew.

Shehzad memfailkan saman asalnya pada Disember 2023, mendakwa walaupun kedua-dua ibu bapanya beragama Islam ketika beliau dilahirkan pada Jun 1996, ibunya telah membesarkannya sebagai seorang Sikh.

Selepas ibunya meninggal dunia pada 2007, beliau dijaga oleh bapa saudaranya yang juga beragama Sikh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.