SPRM tunggu Australia serah bukti skandal hartanah Mara

SPRM tunggu Australia serah bukti skandal hartanah Mara

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan tempatan telah selesai tetapi masih menunggu kenyataan yang diambil oleh polis Australia sebelum menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Azam Baki bercakap kepada wartawan di sebuah acara di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya boleh mendakwa mereka yang terbabit dalam skandal hartanah Mara selepas bukti diberikan Polis Persekutuan Australia (AFP), kata Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

Beliau berkata, siasatan di dalam negara sudah selesai, tetapi ada sedikit halangan kerana agensi anti-rasuah itu perlu membenarkan AFP menyelesaikan kes mereka terlebih dahulu.

“Baru-baru ini telah pun dilaporkan beberapa orang di sana (Australia) telah didakwa oleh AFP. Oleh itu, kami sudah berkomunikasi dengan AFP.

“Beberapa keterangan yang kami mahu dari sana akan diperoleh secepat mungkin. Kami juga telah berbincang dengan timbalan pendakwa raya untuk melihat kemungkinan tuduhan terhadap orang tertentu di negara ini berdasarkan keterangan yang telah pun kita peroleh sedikit dari pihak AFP.

“Jadi, jika undang-undang membenarkan kita untuk mendakwa orang-orang ini, maka kita akan terus dakwa mereka untuk kes Mara berdasarkan bukti dari AFP.

“Yang penting ialah orang-orang tertentu di Malaysia boleh didakwa, sekiranya dipersetujui timbalan pendakwa raya,” katanya dalam sebuah acara dekat sini, hari ini.

Skandal itu membabitkan pembelian sebuah kompleks pangsapuri berjuta dolar di Melbourne pada 2013 oleh Mara.

Julai lalu, pihak berkuasa Australia mendakwa pemaju hartanah, Teen Boon Lye, isterinya dan syarikat swasta mereka merasuah seorang pegawai Malaysia untuk menjamin jualan bangunan itu yang dikenali sebagai Dudley House.

Menurut laporan Sydney Mornign Herald, Teen didakwa pada 9 Julai lalu, kira-kira 5 tahun selepas pendedahan yang menunjukkan harga hartanah itu meningkat sebanyak A$4.75 juta dengan memberi sogokan kepada sekumpulan pegawai Malaysia.

Harga asal hartanah di Melbourne itu ialah A$17.85 juta, tetapi kemudian dijual pada harga A$22.6 juta, dengan A$4.75 juta dibayar atau dijanjikan kepada individu, termasuk individu yang didakwa bernama Zach Zainal dan Erwan Azizi, dengan niat untuk mempengaruhi seorang pegawai kerajaan Malaysia bagi menjamin penjualan hartanah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.