
Katanya, sebuah unit khas akan ditubuhkan bawah kerajaan tempatan dan kementerian perumahan bagi memudahkan permohonan dan pemberian bantuan sekolah Cina di negeri ini.
“Saya memperuntukkan RM9 juta bagi sekolah menengah Cina tahun ini dan menyalurkan RM8 juta lagi untuk membantu sekolah rendah Cina (SJK Chung Hua Bako) hari ini.
“Saya akan terus menyalurkan dana untuk sekolah ini setiap tahun selagi saya ketua menteri dan GPS terus menerajui negeri ini,” katanya pada majlis pelancaran SJK Chung Hua Bako hari ini.
Abang Johari berkata, pendidikan adalah mengenai menimba pengetahuan, tanpa mengira bahasa pengantarnya.
“Sekolah Cina bukan hanya untuk orang Cina kerana kita mempunyai ramai anak Bumiputera yang lebih suka belajar dalam bahasa Mandarin,” katanya.
Katanya, daripada keseluruhan 60,000 murid yang belajar di sekolah rendah Cina di negeri ini, 20,000 adalah Bumiputera.
Menurutnya, bekas ketua menteri Adenan Satem adalah ketua menteri pertama yang memberikan peruntukan tahunan kepada sekolah menengah Cina pada 2014 dan secara rasmi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama.
Abang Johari berkata beliau akan meneruskan legasi bekas ketua menteri itu.