Kadar pengangguran turun 3 bulan berturut-turut

Kadar pengangguran turun 3 bulan berturut-turut

Nisbah guna tenaga penduduk meningkat kepada 64.9% pada Julai daripada 64.7% bulan sebelumnya menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan.

Jabatan Perangkaan berkata peningkatan ketara direkodkan dalam sektor perkhidmatan terutama aktiviti penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan dan penyimpanan serta peningkatan kecil dalam aktiviti seni, hiburan dan rekreasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kadar pengangguran terus menurun kepada 4.7% pada Julai tahun ini berbanding 4.9% pada Jun dan 5.3% Mei.

Jabatan Perangkaan melaporkan bilangan penganggur pada Julai seramai 745,100 orang berbanding 773,300 pada Jun, atau pengurangan seramai 28,200 penganggur.

Pada Mei, bilangan penganggur mencecah 826,100 orang.

“Kebanyakan sektor ekonomi mencatatkan peningkatan penduduk bekerja sejak Jun 2020 selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peningkatan ketara direkodkan dalam sektor perkhidmatan terutama aktiviti penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan dan penyimpanan serta peningkatan kecil dalam aktiviti seni, hiburan dan rekreasi.

“Bilangan penduduk bekerja terus meningkat 0.6% pada Julai selepas merekodkan pertumbuhan 0.7% pada Jun 2020.

“Selepas 3 bulan berturut-turut mencatatkan bilangan penduduk bekerja di bawah 15 juta, bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 15.07 juta orang,” katanya.

Jabatan Perangkaan berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat kepada 64.9% pada Julai daripada 64.7% bulan sebelumnya, menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan.

“Tahun ke tahun, nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh 1.3% daripada 66.3% pada Julai 2019,” menurut kenyataan itu.

Dari segi status pekerjaan, bekerja sendiri menurun 36,900 kepada 2.38 juta orang pada Julai.

“Kumpulan ini yang mana terus menurun sejak April, kebanyakannya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan, freelancers serta pekebun kecil. Mereka adalah kumpulan yang paling terjejas disebabkan wabak Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.