
Beliau berkata, musuh dalam selimut itu semakin galak menghalang kesatuan ummah, malah aktif menyebarkan pelbagai tohmahan termasuk terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Tindakan sebegini menyalahi adab dalam bersahabat dan keterlaluan. Cukuplah menjadi ejen memecah belahkan orang Melayu dan Bumiputera. Semua pihak, terutama pemimpin parti sahabat, harus lebih tegas memastikan juak perpecahan tidak terus merosakkan bangsa.
“Jangan berikan ruang kepada musuh dalam selimut yang ada agenda jahat, tidak mahu orang Melayu bersatu. Keinginan kita ialah untuk memastikan kesatuan ummah benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful bagaimanapun tidak memetik secara khusus siapakah individu atau pemimpin yang dikatakan menjadi musuh dalam selimut yang didakwanya menjadi ejen memecah belahkan orang Melayu.
Beliau turut menegaskan PPBM kekal beriltizam untuk memastikan parti politik Melayu bertaut menjadi sebuah keluarga besar yang erat. Baginya, pembentukan keluarga besar itu penting demi memastikan politik negara stabil.
“Kita mahu semua rakyat, pelbagai bangsa dan agama, mendapat manfaat dan kemakmuran secara bersama. Demi kesatuan ummah dan demi memastikan kebajikan rakyat.
“PPBM bawah kepimpinan Muhyiddin berusaha gigih membentuk Perikatan Nasional (PN) dan sudah bersetuju menerima jemputan menyertai Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Katanya, pelancaran PN Sabah pada 9 September lalu adalah manifestasi komitmen PPBM terhadap kesatuan yang sudah lama diimpikan rakyat.
“Ia sudah bermula di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian. Rakyat mahukan kestabilan politik supaya kerajaan boleh menjaga kebajikan rakyat. Rakyat mahu orang politik yang berkhidmat, bukan berpolemik semata-mata,” katanya.