Pencemaran sungai: Tempoh tahanan reman 4 pengurus kilang disambung 5 hari

Pencemaran sungai: Tempoh tahanan reman 4 pengurus kilang disambung 5 hari

Mereka sebelum ini ditahan reman selama 6 hari sejak Sabtu lepas.

Pencemaran sungai yang dipercayai berpunca dari sebuah kilang menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang sejak Khamis membabitkan lebih 1.2 isi rumah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tempoh tahanan reman terhadap 4 pengurus kilang adik-beradik berhubung siasatan kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang disambung 5 hari lagi.

Perintah lanjutan tahanan reman yang bermula esok itu dikeluarkan majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang ke atas kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun sehingga 15 Sept ini.

Terdahulu, kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 9.15 pagi. Mereka sebelum ini ditahan reman selama 6 hari sejak Sabtu lepas.

Di mahkamah sama, seorang lagi pekerja lelaki sebuah kilang berusia 30-an direman 6 hari berhubung siasatan kes yang sama bermula hari ini selepas ditangkap di Gombak, semalam.

Kesemua mereka ditahan reman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Isnin lepas, 2 pekerja lelaki sebuah kilang direman 6 hari mulai 7 Sept berhubung kejadian sama.

Ekoran pencemaran minyak dari kilang itu pada Khamis lepas, loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas menyebabkan 1,292 kawasan di 7 wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.