
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, kementerian memandang serius mengenai perkara yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya di negara ini.
“Kementerian Pengangkutan melalui agensi di bawahnya menjalankan pelbagai bentuk kempen dan advokasi yang berterusan melalui pelbagai medium seperti Program Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA) yang dilaksanakan di setiap negeri di seluruh Malaysia.
“Sebanyak 1,866 program TMTA dilaksanakan yang merangkumi seluruh kategori advokasi, termasuklah bagi penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan senator A Kesavadas Nair yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah terdapat langkah strategik bagi mengurangkan kadar kematian penunggang motosikal akibat kemalangan jalan raya memandangkan golongan ini lebih berisiko dan tinggi angka kematiannya berbanding pemandu kenderaan 4 roda.
Dalam pada itu, Hasbi berkata, program kesedaran menerusi sesi ceramah dan kempen keselamatan jalan raya di organisasi kerajaan, swasta, komuniti setempat, sekolah dan institusi pengajian tinggi turut dilaksanakan.
Katanya, mesej peringatan juga dikeluarkan di stesyen televisyen menerusi slot wawancara, iklan dan “crawler”, hebahan di radio dan juga media sosial sepanjang tahun bagi mengubah sikap dan mendidik pengguna jalan raya.
Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan juga menjalin kerjasama bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam cadangan pembinaan laluan motosikal yang baru.
“Laluan baru yang dicadangkan adalah bagi laluan yang mempunyai kadar kemalangan yang membimbangkan.
“Segala peruntukan bagi pembinaan laluan motosikal ini akan dimohon di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melalui KKR,” katanya.
Hasbi berkata, satu program yang dinamakan “My Safe Road”, iaitu kerjasama agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dengan Universiti Tun Husssien Onn Malaysia (UTHM) dijalankan bagi penambahbaikkan laluan motosikal di sepanjang kawasan “black spot” terpilih, iaitu Kluang – Ayer Hitam – Batu Pahat.
Katanya, program itu bermula sejak tahun 2016 dan menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila kemalangan di kawasan tersebut semakin berkurangan setiap tahun.
“Progam ini juga dibentangkan dalam mesyuarat Kumpulan Pakar Keselamatan Jalan Raya Asean-Jepun yang pertama pada Januari 2020 di Jepun.
“Batu Pahat dan Kuala Lumpur pula dipilih sebagai kawasan kajian keselamatan jalan raya dengan kerjasama Miros dan Bloomberg Philanthropies,” katanya.