
SPRM berkata, laporan polis dibuat Saifullah yang kini dalam siasatan tuduhan rasuah terhadap suruhanjaya itu adalah palsu, tidak bertanggungjawab dan berniat mencemarkan reputasi dan kredibiliti SPRM.
“Saifullah merupakan suspek dalam siasatan rasuah dan sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Ogos dengan 17 pertuduhan kesalahan bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan 1 pertuduhan bersama tunangnya, Nurfadziana Abdul Kadir bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
“Sehubungan itu, SPRM sudah membuat 1 laporan di ibu pejabat polis daerah Putrajaya hari ini agar polis menjalankan siasatan atas kesalahan membuat aduan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Saifullah didakwa di Mahkamah Sesyen pada Ogos lalu atas tuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah lebih RM3.1 juta daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.
Saifullah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Nurfadziana juga mengaku tidak bersalah atas 1 pertuduhan bersubahat dengan Saifullah dalam melakukan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar Kuala Lumpur, iaitu Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavilion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Vipod Residences, Maybank Taman Tun Dr Ismail dan Wisma Genting serta pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya antara 19 Jan hingga 29 Julai 2019.