Wanita didenda RM30,000 aniaya anjing

Wanita didenda RM30,000 aniaya anjing

Oh Ju Lian mengaku bersalah menganiaya 2 ekor anjing di sebuah rumah di Paper Estate, Tanjong Bunga pada 4 Mac 2019.

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan bersama anjing yang diselamatkan di luar bangunan mahkamah di George Town hari ini.
GEORGE TOWN:
Seorang kerani pentadbiran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya 2 ekor anjing miliknya dengan tidak memberi makan dan merantai haiwan berkenaan pada Mac tahun lepas.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Oh Ju Lian, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatan itu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda dan dilucutkan hak penjagaan terhadap seekor anjingnya yang masih hidup.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak munasabah menyebabkan 2 ekor anjing kepunyaannya berada dalam kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya di sebuah rumah di Paper Estate, Tanjong Bunga, pada 3 petang, 4 Mac 2019.

Mengikut fakta kes, Oh tmembiarkan kedua-dua anjingnya itu berada dalam keadaan terikat dengan rantai besi di pagar batu dengan salah seekor daripadanya telah mati.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu dalam rayuannya, Oh sambil menangis memohon mahkamah agar mengenakan hukuman ringan atas alasan dia tidak mampu membayar denda tinggi kerana perlu menyara keluarga.

Ibu kepada 2 anak yang tidak diwakili peguam itu turut insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.

Sementara itu, pegawai pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap wanita berkenaan.

Oh membayar denda tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.