
Ketua Polis Perak Razarudin Husain berkata, sekiranya menerima laporan, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat siasatan.
“Sesiapa yang ada maklumat pengundi dirasuah boleh datang ke balai untuk membuat laporan.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan pengundi disogok pada PRK Slim. Kita hanya terima 5 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan ketua polis Daerah Kerian di sini, hari ini.

Pada majlis itu, bekas timbalan ketua polis Daerah Ipoh (Operasi) Mazuki Mat, 58, mengambil alih jawatan ketua polis Daerah Kerian yang baru menggantikan Omar Bakhtiar Yaacob, 56, yang dilantik sebagai ketua polis Daerah Kuala Kangsar.
Semalam Mahathir yang juga pengerusi Pejuang mendakwa berlaku pengundi di DUN Slim menerima sokongan sehingga RM150 seorang apabila mengundi calon Barisan Nasional (BN).
Sementara itu mengulas isu judi dalam talian, Razarudin berkata, pihaknya membuat 30 permohonan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke premis berkaitan di Perak.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 12 premis di Ipoh telah diambil tindakan, manakala baki 18 lagi masih dalam proses untuk tindakan.
“Kita bekerjasama rapat dengan TNB dan setakat ini tiada masalah,” katanya sambil menambah judi dalam talian tidak serius di Perak kerana pihaknya sentiasa mengambil tindakan jika ada maklumat.