Pinjaman bank melonjak 2 bulan berturut-turut pasca PKP

Pinjaman bank melonjak 2 bulan berturut-turut pasca PKP

Didorong oleh insentif Penjana dalam sektor automotif, hartanah.

PETALING JAYA:
Insentif bawah pelan pemulihan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan kerajaan Jun lalu berjaya mengukuhkan sentimen pinjaman perbankan apabila permohonan pinjaman meningkat 2 bulan berturut-turut, menokok 6% tahun ke tahun pada Julai.

Dalam nota kajiannya, penganalisis ekonomi Maybank IB Research, Desmond Ch’ng, berkata situasi itu didorong oleh peningkatan permohonan pinjaman automatik, gadai janji, dan modal kerja.

“Permohonan pinjaman automatik melonjak 64% tahun ke tahun kepada RM9.7 bilion pada Julai sementara pinjaman gadai janji meningkat 19% tahun ke tahun kepada RM29.9 bilion, yang dipercayai disokong sektor hartanah dan automotif,” katanya hari ini.

“Seperti yang direkodkan pada Jun, sentimen pinjaman perbankan terus mengukuh pada Julai, sejajar dengan insentif yang diperkenalkan kerajaan.”

Kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan 100% bagi kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV), dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan (CKD), serta pengecualian cukai jualan sebanyak 50% bagi kenderaan penumpang, SUV dan MPV pasang siap (CBU) mulai 5 Jun hingga 31 Disember 2020 bawah Penjana.

Manakala bagi sektor hartanah, kerajaan menghapuskan cukai keuntungan hartanah, pengecualian duti setem, dan had pinjaman ke nilai sifar bagi hartanah ke-3 atau lebih, mendorong peningkatan permohonan pinjaman.

Mengenai portfolio akaun semasa dan simpanan (Casa), beliau berkata keseluruhan sistem deposit kekal stabil dengan pertumbuhan 4.2% tahun ke tahun pada Julai disokong pertumbuhan dalam Casa yang berkembang pada kadar sangat pantas 18.4%.

“Ini memberi isyarat positif kepada bank dalam keupayaan mereka untuk menguruskan dana dan meningkatkan keuntungan.

“Kami mengekalkan sasaran ‘Neutral’ ke atas saham perbankan dengan jangkaan pelbagai bentuk perintah kawalan pergerakan (PKP) akan memberi kesan kepada ekonomi termasuk pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.