Petronas: Bayaran dividen kepada kerajaan bergantung pada kemampuan

Petronas: Bayaran dividen kepada kerajaan bergantung pada kemampuan

Ini berikutan penurunan harga minyak dan pandemik Covid-19 yang mempengaruhi prestasi kewangan Petronas.

Presiden dan CEO Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, tiada tekanan daripada kerajaan ke atas syarikat memandangkan ia menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata, pembayaran dividen kepada kerajaan tahun ini akan bergantung kepada kemampuannya berikutan penurunan harga minyak dan pandemik Covid-19, yang mempengaruhi prestasi kewangannya.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi kewangan akhir tahun Petronas akan menjadi panduan untuk menentukan perkara itu, selain perlu membincangkannya di peringkat lembaga pengarah dengan tertakluk kepada kemampuan syarikat.

Beliau juga berkata, tiada tekanan daripada kerajaan ke atas syarikat memandangkan Petronas sedang menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Industri ini mengalami ketidaktentuan dan seperti juga syarikat minyak dan gas lain, pemegang saham cenderung untuk tidak menyaksikan banyak pulangan.

“Kerajaan tidak memaksa Petronas untuk membayar dividen setakat ini…mereka menyedari komitmen perbelanjaan modal, pelaburan dan tanggungjawab kewangan syarikat ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama 2020 Petronas.

Tengku Muhammad Taufik berkata, walaupun keadaan pasaran tidak menentu dan prestasi kewangan lebih rendah semasa tempoh itu, Petronas masih merekodkan aliran tunai yang positif sebanyak RM26.3 bilion.

Beliau berkata, syarikat komited untuk melaksanakan semua langkah diperlukan ke arah pemulihan yang akan melibatkan pembentukan semula gabungan portfolio, melengkapkan kembali keseimbangan modal insan dengan kaedah baru atau sesuai, di samping menekankan pelaksanaan bertumpuan secara pantas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.