
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, langkah itu bagi mengawal pergerakan penduduk di kawasan berkenaan supaya mereka mematuhi perintah berkenaan sekali gus tidak tercicir daripada membuat saringan.
“SJR (sekatan jalan raya) kita ada 4 lokasi di 3 zon ini (Kenanga, Mawar dan Melur), kita nak putuskan hubungan, kita tidak mahu orang di kawasan ini keluar kawasan, yang di luar pun tidak boleh masuk,” katanya kepada pemberita semasa meninjau SJR di kawasan perumahan Ambangan Heights Amanjaya hari ini.
Adzli meminta penduduk di kawasan terbabit mematuhi perintah itu dengan penuh sabar dan polis tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba melanggar arahan berkenaan demi keselamatan semua.
Beliau berkata, seramai 119 anggota dan pegawai polis terlibat dalam penugasan mengawal lalu lintas berkenaan untuk memastikan penduduk di situ tidak mengingkari arahan.
Bagaimanapun, beliau berkata ada keadaan tertentu dibenarkan atas pertimbangan polis jika terdesak misalnya mendapatkan perkhidmatan penghantar barang namun tidak sewenang-wenangnya penduduk boleh mengambil kesempatan terhadap pertimbangan itu.
Katanya, seramai 25 warga kerja ibu pejabat polis Daerah (IPD) Kuala Muda termasuk anggota dan pegawai yang tinggal di kawasan terlibat diberikan pengecualian bertugas.
Selain itu, penduduk terlibat disarankan supaya menghubungi hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang beroperasi 24 jam jika menghadapi apa jua masalah termasuk berkaitan keperluan makanan sekali gus dapat memudahkan semua urusan mereka.