Sarawak boleh minta peruntukan Putrajaya untuk laksana PPSMI

Sarawak boleh minta peruntukan Putrajaya untuk laksana PPSMI

Kerajaan negeri berkata Putrajaya tiada halangan terhadap penerusan PPSMI di Sarawak.

Sarawak berhasrat meminta RM11 juta setahun daripada Putrajaya untuk melaksanakan program pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan persekutuan bersifat terbuka berhubung pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah di Sarawak walaupun ia tidak dibenarkan di Semenanjung.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Annuar Rapaee berkata, Putrajaya bersetuju dengan Sarawak mengenai keputusan itu, bahkan mungkin akan membiayainya.

Beliau memberitahu FMT bahawa kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat kerana Kuching membelanjakan sekitar RM10 hingga RM11 juta untuk program itu.

“Oleh kerana kerajaan negeri memerlukan jumlah yang sama setiap tahun, kami akan minta peruntukan (daripada kerajaan pusat) untuk tahun-tahun akan datang.

“Program ini tetap akan diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar juga berkata, kerajaan negeri merancang untuk membangunkan 5 sekolah antarabangsa yang menampung “pelajar tempatan yang cemerlang, terutama yang berada di luar bandar” dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

“Jadi, program ini (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) adalah penting untuk mempersiapkan pelajar luar bandar kita untuk sekolah ini,” katanya.

Program pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris melibatkan 27,931 murid Tahun 1 di 1,034 sekolah rendah di seluruh Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.