
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, mengulas pertanyaan tentang perbezaan gaji pegawai perubatan kontrak dan lantikan tetap walaupun menjalankan tugas sama.
Katanya, cadangan berkenaan bakal menyaksikan pegawai perubatan kontrak menerima gaji hampir sama dengan lantikan tetap.
Kementerian turut mencadangkan tempoh kontrak lebih panjang, memberikan peluang lebih baik bagi pegawai perubatan kontrak mengambil laluan kepakaran setara.
“Bagi mereka (pegawai perubatan kontrak) yang kita naikkan gaji ke gred UD43 ialah pegawai yang sentiasa patuh dan bersedia untuk terus kekal dalam kementerian.
“Pegawai perubatan kontrak gred UD41 prinsipnya ialah upah mengikut kerja dan memikul beban tugas setara dengan lantikan tetap yang dinaikkan pangkat ke gred UD44. Begitu juga dengan farmasi dan pergigian.
“Ini sebenarnya kita laksanakan supaya perancangan untuk tambah baik laluan kerjaya dapat memelihara keharmonian di tempat kerja bagi pekerja tetap dan kontrak bagi meningkatkan motivasi pegawai semasa bertugas,” katanya ketika sesi pertayaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta kementerian menjelaskan kenapa penyelarasan gred pegawai perubatan kontrak masih belum dilaksanakan.
Mengulas pertayaan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang memberi pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai tetap memandangkan mereka juga memberi perkhidmatan yang sama, Adham berkata, secara prinsipnya, pegawai kontrak mendapat emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.
“Namun, faedah lain seperti kemudahan cuti diberi berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 – Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service) serta Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2016.
“Antara faedah cuti yang diberikan adalah cuti rehat selama 25 hari, cuti sakit sehingga 90 hari bergaji penuh dan juga cuti bersalin. Selain itu, pegawai perubatan lantikan kontrak juga dipanjangkan kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa, yang sebelum ini tidak pernah diberikan kepada pegawai lantikan kontrak lain.”
Namun cuti rehat semasa latihan siswazah atau “housemanship” tidak diberikan seperti mana pegawai dalam skim perkhidmatan lain kerana cuti tersebut perlu diselaraskan mengikut penempatan latihan siswazah, katanya.
Mengulas isu berkaitan kelayakan cuti lain yang dinikmati pegawai perubatan tetap, pemanjangan kepada pegawai lantikan kontrak atas pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Bagi kemudahan penajaan kepada pegawai lantikan kontrak untuk pengajian kepakaran, dasar semasa yang dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah hadiah latihan persekutuan (HLP) hanya diberikan kepada pegawai tetap bagi memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian.
“Namun begitu, bagi mereka yang tidak mendapat HLP tetapi masih ingin melanjutkan pengajian kepakaran, Kementerian Kesihatan sentiasa mengalu-alukan mereka untuk berbuat demikian dan salah satu cara melalui Program Latihan Kepakaran ‘Parallel Pathway’,” katanya.