
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismail Abd Muttalib, berkata ketika ini pasaran sewa tidak dikawal oleh mana-mana perundangan yang khusus.
Sebaliknya, ia ditentukan berdasarkan kadar penilaian, lokasi, aksesibiliti, dan jarak dari pengangkutan awam.
Akta itu, antara lain, akan melindungi penyewa daripada sebarang bentuk pengusiran tanpa notis munasabah selain bertindak sebagai kerangka perundangan untuk mengawal atur sistem kawalan sewaan kediaman.
Sebaik sahaja diluluskan, Ismail berkata: “Ia akan mewujudkan institusi penyelesaian pertikaian seperti ‘mediator’ dan tribunal dalam urus niaga atau transaksi tersebut.”
Beliau menjawab Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) mengenai usaha kementerian memastikan pasaran sewa rumah kediaman berada dalam kemampuan kebanyakan rakyat.
Chang juga menyuarakan rasa tidak senang akta itu tidak akan dibentangkan tahun ini, menegaskan ramai penyewa menganggur ketika ini mungkin akan diusir dari premis mereka susulan Covid-19.