
Mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1, Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, keadaan ini berlaku sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018.
“PH melakukan banyak penstrukturan ke atas syarikat yang dimiliki oleh kementerian. Ini menyebabkan banyak jawatan penting tidak diisi,” katanya kepada sidang media di Jabatan Audit Negara di sini.
Nik Azman berkata, salah satu syarikat yang diaudit, Talent Corporation Bhd Malaysia (TalentCorp) beroperasi tanpa CEO sejak Jun 2018.
“TalentCorp asalnya terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi kini ditempatkan di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Nik Azman berkata, tanpa CEO di TalentCorp, semua keputusan dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah.
“SOP yang digunakan tidak dibentangkan kepada lembaga pengarah untuk kelulusan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan meluluskan sejumlah RM367.57 juta sebagai geran pembangunan dan RM124.85 juta untuk geran pengurusan kepada talentCorp dari 2011 hingga 2019.
“Bagaimanapun tiada jawatankuasa audit dibentuk sejak ia ditubuhkan,” katanya.
Ini katanya, menyebabkan ketidakcekapan pengurusan, terutama dalam pelaksanaan projek seperti Program Kepulangan Pakar.
Beliau berkata, bagi membolehkan langkah pemulihan dan pembaikan syarikat diaudit dilakukan, Jabatan Audit Negara mengemukakan lebih 50 syor bagi membetulkan kelemahan yang dikenal pasti.