TalentCorp lancar kohort baharu WIN, sasar perkukuh kepimpinan wanita muda

TalentCorp lancar kohort baharu WIN, sasar perkukuh kepimpinan wanita muda

Lebih 300 peserta dari universiti dan institusi TVET akan dibimbing pemimpin industri bagi meningkatkan keyakinan, kemahiran dan peluang kepimpinan.

TalentCorp
Lebih 300 wanita muda dari 25 universiti dan institusi TVET di seluruh negara menjadi peserta Kohort Mentor Rangkaian Industri Wanita selama lima minggu. (Gambar Facebook TalentCorp)
PETALING JAYA:
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) melancarkan Kohort Mentor Rangkaian Industri Wanita (Women-Industry Network, WIN) 2025 di bawah inisiatif Wanita MyWira bagi mengukuhkan penyertaan dan kepimpinan wanita dalam tenaga kerja negara.

Program itu dijalankan dengan kerjasama Girls4Girls Malaysia (G4G) serta Paragon Group sebagai penaja strategik.

Kohort kali ini menghimpunkan lebih 300 wanita muda dari 25 universiti dan institusi TVET di seluruh negara yang sepanjang lima minggu akan dibimbing oleh 41 pemimpin wanita daripada sektor seperti teknologi, kejuruteraan, kesihatan dan tenaga boleh baharu.

wong shu qi
Wong Shu Qi.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp Wong Shu Qi berkata WIN menjadi pelaburan jangka panjang dalam membentuk kepimpinan masa hadapan negara, bertepatan dengan sasaran penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60% menjelang 2030.

Beliau berkata, perwakilan wanita di peringkat lembaga pengarah sudah menunjukkan peningkatan ketara, dengan 33.1% daripada 100 syarikat tersenarai utama Bursa Malaysia kini diterajui wanita, berbanding hanya 14% pada 2015.

“Namun untuk mengekalkan momentum ini, usaha membina keyakinan, kemahiran dan rangkaian kepimpinan wanita perlu diteruskan,” katanya.

Program WIN Wanita MyWira memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi, kepimpinan, rundingan, etika serta kesedaran peranan dalam khidmat awam.

Ia turut menyokong agenda menutup jurang gender, termasuk penurunan jurang gaji antara lelaki dan wanita daripada RM211 pada 2023 kepada RM18 pada Mac 2025.

Pengasas bersama Girls4Girls International Izzana Salleh berkata kerjasama dengan TalentCorp menunjukkan kejayaan kolaborasi berasaskan matlamat bersama untuk memperkasa wanita dalam kepimpinan dan pasaran kerja.

Pengarah kanan Asia School of Business, Kruthiga Permar, turut menyifatkan inisiatif ini sebagai pemangkin perubahan kerana memberi ruang kepada peserta untuk membina rangkaian dan potensi kerjaya.

Sejak diperkenalkan pada 2021, WIN telah membimbing lebih 1,000 wanita dengan sokongan syarikat seperti PETRONAS, Telekom Malaysia, Microsoft dan CTOS.

Program itu kini diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Pantai Timur, selaras dasar Malaysia Madani dalam membangunkan tenaga kerja inklusif serta berkemahiran tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.