
Bercakap ketika melancarkan Persidangan Life at Work (Lawa) 2025 hari ini, Sim berkata, inisiatif yang diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) – badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) – itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, malah turut menyumbang kepada peningkatan daya pengeluaran syarikat.
“Hasilnya, majikan melaporkan peningkatan produktiviti, penglibatan pekerja yang lebih kukuh serta kadar keluar masuk tenaga kerja yang lebih rendah.
“Ini membuktikan bahawa produktiviti meningkat apabila pekerja diberikan kepercayaan dan sokongan,” katanya.
Di bawah pindaan Akta Kerja 1955, pekerja boleh memohon secara rasmi untuk mengubah waktu, hari atau lokasi mereka bekerja.
Sim menambah, pendekatan ini menunjukkan bahawa kesejahteraan pekerja dan prestasi syarikat boleh bergerak seiring.
“Apabila kita mewujudkan tempat kerja yang ambil peduli – di mana fleksibiliti dan kesejahteraan dihargai – produktiviti akan meningkat. Melalui inisiatif seperti Life at Work dan AKF, kita sedang membina ekonomi yang membolehkan setiap rakyat Malaysia menyumbang secara bermakna,” katanya.
Persidangan Lawa 2025 bertemakan ‘Driving the Future of Work: Sustainable, Inclusive & Human-Centred’ anjuran TalentCorp merupakan platform nasional yang menghimpunkan pemimpin industri dan pembuat dasar untuk memacu transformasi tempat kerja yang progresif dan berpusat kepada insan di Malaysia.
Acara ini selaras dengan agenda Belanjawan 2026 yang menekankan fleksibiliti, keterangkuman, dan kesejahteraan sebagai asas pertumbuhan mampan negara.
Sementara itu, Pengerusi TalentCorp Wong Shu Qi berkata, daya saing masa depan Malaysia bergantung kepada cara negara menghargai tenaga kerjanya.
“Apabila pekerja merasa disokong dan sejahtera dari segi mental, mereka kekal lebih lama dan bekerja dengan lebih baik,” katanya.
Untuk mengiktiraf majikan yang cemerlang dalam amalan ini, Anugerah Lawa akan diadakan pada 30 Okt ini, meraikan 33 majikan progresif dalam 13 kategori.