Dewan Rakyat lulus RUU MKN sekat kuasa perdana menteri

Dewan Rakyat lulus RUU MKN sekat kuasa perdana menteri

Ia bertujuan menyekat perdana menteri daripada menggunakan kuasanya untuk mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai 'kawasan keselamatan'.

RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan lulus bacaan kali pertama dan ke-2 pada hari sama. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 diluluskan pada bacaan ke-3 secara undian suara di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara itu selepas suara bersetuju lebih ramai daripada tidak bersetuju.

RUU itu bertujuan menghalang perdana menteri daripada menggunakan kuasanya mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai “kawasan keselamatan”.

RUU berkenaan yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hasan, lulus bacaan kali pertama (peringkat dasar) dan ke-2 (peringkat teknikal) pada hari sama.

Pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 pernah dibentangkan di Dewan Rakyat pada April tahun lalu, tetapi pada Julai, ia ditarik balik oleh kerajaan sebelum ini mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Akta MKN diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 2015 dan berkuat kuasa 1 Ogos 2016, antara lain membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan penyiasatan formal berhubung pembunuhan yang dilakukan oleh polis atau tentera di sesuatu “kawasan keselamatan”.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini berkata, akta MKN 2015 perlu dipinda kerana ia mengambil hak keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dalam pengisytiharan darurat.

Menurut rang undang-undang yang dibentangkan itu, pindaan Seksyen 18 akta berkenaan turut meliputi Subseksyen (4), iaitu menggantikan perkataan “Perdana Menteri” kepada “Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Majlis”; dan Subseksyen (6) menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”.

Selain itu, pindaan turut membabitkan Subseksyen (7), yang sebelum ini menyebut perdana menteri boleh, pada bila-bila masa, membatalkan perisytiharan itu (kawasan keselamatan), dan diganti dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis”.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 turut menyaksikan pindaan Seksyen 37 berkaitan hukuman penjara berhubung obligasi kerahsiaan dinaikkan dari 2 tahun ke 5 tahun.

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Seksyen 6 akta berkenaan berhubung keanggotaan Majlis iaitu mengeluarkan timbalan perdana menteri sebagai timbalan pengerusi Majlis dan memberi kuasa kepada pengerusi Majlis untuk melantik seorang timbalan pengerusi dalam kalangan anggota Majlis yang lain.

Mengikut akta asal, keanggotaan Majlis terdiri daripada 8 orang, iaitu perdana menteri sebagai pengerusi; timbalan perdana menteri sebagai timbalan pengerusi; menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi pertahanan; menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri; menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab komunikasi dan multimedia; Ketua Setiausaha Negara; panglima Angkatan Tentera; dan Ketua Polis Negara.

Rang undang-undang itu tidak akan membabitkan apa-apa perbelanjaan tambahan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.