
Laporan itu menyebut, klausa dalam kontrak utama menetapkan bahawa denda lewat akan dikenakan pada kadar 1% daripada purata harga kapal LCS sekiranya berlaku kelewatan dari tarikh ia patut diserahkan oleh syarikat.
Sekiranya kelewatan melebihi tempoh 12 bulan katanya, Kementerian Pertahanan mempunyai hak untuk menamatkan kontrak atau meneruskannya dengan memastikan syarikat menunaikan obligasinya dan kementerian mempunyai hak untuk menuntut pampasan seperti dinyatakan dalam klausa tersebut.
“Semakan audit mendapati kelewatan penyerahan kapal LCS 1 selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan menyebabkan denda lewat sejumlah RM116.54 juta perlu dikenakan kepada syarikat sehingga 31 Disember 2019.
“Sehingga 30 Jun 2020, walaupun kelewatan melepasi tempoh 12 bulan, iaitu pada April 2020, Kementerian Pertahanan tidak mengeluarkan surat tuntutan kepada syarikat bagi menuntut denda lewat,” kata laporan itu.
Sebaliknya, kementerian hanya mengeluarkan notis peringatan kepada syarikat pada 14 Jun 2019 atas kelewatan tersebut.
“Kelewatan menguatkuasakan syarat kontrak mengenai kenaan denda lewat menyebabkan kekurangan hasil kerajaan sejumlah RM116.54 juta bagi 245 hari sehingga 31 Disember 2019,” kata laporan itu.
Maklum balas daripada Kementerian Pertahanan kepada Jabatan Audit pada 22 Julai lalu menyebut notis tuntutan bertarikh 15 Jun 2020 dikeluarkan kepada syarikat pada 15 Jun.
Bilangan hari kelewatan penyerahan kapal peronda setakat 10 Jun 2020 adalah 435 hari dengan nilai denda berjumlah RM217.50 juta.
Laporan itu turut menyebut bahawa bayaran kemajuan yang dibuat bagi kapal LCS 1 pada 2019 adalah melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1%.
Katanya, bayaran kemajuan yang dibuat berjumlah RM910 juta atau 63.8%, berbanding kemajuan kerja sebenar hanya sebanyak 42.7%.
“Perkara ini berlaku kerana pasukan projek LCS TLDM kemudiannya mengesahkan kemajuan kerja berdasarkan ‘Schedule 5B Progress Payment Plan’ dalam kontrak (tambahan ke-3) tidak dikemas kini.
“Akibatnya bayaran kemajuan yang dibuat melebihi kemajuan kerja sebenar projek walaupun telah melepasi tempoh sepatutnya siap seperti dalam kontrak utama,” katanya.
Menurut pernyataan audit lagi, bayaran melebihi kemajuan kerja sebenar kapal LCS 1 merupakan kerugian kepada kerajaan kerana ia tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.