
Mereka ialah setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa, Hamzah Zainuddin (PPBM), Takiyuddin Hassan (PAS), Chong Sin Woon (MCA) dan M Asojan (MIC).
Ceramah di Dewan Serba guna Felda Trolak Utara itu antaranya berkisar mengenai kerjasama parti komponen PN yang dilakukan bagi menyelamatkan masa depan negara daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang tidak disenangi rakyat.
Annuar berkata, agenda rakyat yang dijanjikan tidak dapat dilaksanakan ketika pemerintahan PH, tetapi kini kesemua pemimpin dalam kerajaan PN bekerjasama berkongsi pengalaman dalam membantu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mentadbir negara.
“Negara mesti diselamatkan, negara perlu ada nakhoda dan kerosakan dibuat PH mesti dibetulkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah menjelaskan bahawa PPBM terpaksa berkorban sehingga digelar pengkhianat kerana meninggalkan PH demi menyelamatkan negara selepas 22 bulan di bawah pentadbiran PH.
“Kami berkorban untuk menjadi penyelamat, untuk menentukan kuasa membela rakyat, bukan pengkhianat seperti didakwa,” katanya.
Chong dah Asojan pula masing-masing menyifatkan pentadbiran PN terbukti membawa Malaysia ke arah lebih baik meskipun diuji dengan wabak Covid-19 dengan mengambil tindakan berani, termasuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ini disokong oleh Takiyuddin yang meminta rakyat di DUN Slim, khususnya penyokong PAS, agar mengundi calon BN Mohd Zaidi Aziz bagi meneruskan agenda membela rakyat.