Pemandu guna cara haram untuk dapat kelebihan, kata Grab

Pemandu guna cara haram untuk dapat kelebihan, kata Grab

Syarikat e-panggilan itu berkata, pelaburannya ke atas teknologi membantu mengekalkan penipuan di platform itu berada di bawah 1%.

Grab memberi jaminan kepada pelanggan yang aplikasi diubah suai dan alat tidak sah tidak akan menjejaskan maklumat mereka.
PETALING JAYA:
Syarikat e-panggilan Grab mengaku terdapat pemandunya menggunakan cara haram dan pengubahsaian untuk mendapatkan kelebihan tidak adil, yang menyebabkan pemandu mendakwa peluang mereka “dicuri”.

Dalam respons terhadap laporan eksklusif FMT pada Khamis mengenai amalan penipuan yang dikatakan berlaku itu, syarikat terbabit berkata, tiada ancaman terhadap maklumat pelanggan.

“Alat tidak sah dan aplikasi diubah suai ini tidak berfungsi dalam aplikasi Grab, dan dalam apa pun keadaan aplikasi Grab atau maklumat pelanggan tidak terjejas dengan apa jua cara.

“Rakan kongsi-pemandu kami yang memilih untuk memuat turun atau menggunakan alat tidak sah ini yang merisikokan data peribadi mereka kerana mereka mungkin membahayakan peranti mudah alih mereka dan data yang disimpan di dalamnya,” kata Grab dalam satu kenyataan.

Grab berkata, ia berusaha sedaya upaya mendidik rakan kongsi-pemandunya berhubung penggunaan alat tidak sah dan aplikasi diubah suai.

Katanya, hanya sebilangan kecil rakan kongsi-pemandu terbabit serta modus operadi mereka membabitkan 2 kaedah.

“Mereka ‘spoofing’ GPS, di mana pemandu menggunakan alat GPS tidak sah pihak ke-3 untuk menempatkan diri di lokasi tertentu secara tiruan, seperti di sebuah pusat beli-belah, walaupun mereka mungkin berada jauh secara fizikalnya.

“Dan (mereka juga menggunakan) aplikasi diubah suai, yang merupakan aplikasi tidak sah di luar Google Play Store atau Apple App Store sah, supaya pemandu mengabaikan pembahagian kerja yang mereka tidak mahu, tanpa dikenakan penalti.”

Katanya, “spoofing” GPS ialah cara untuk memperdaya aplikasi mereka menarik data palsu.

Grab berkata, pelaburan besar ke atas teknologi menyaksikan sebarang penipuan dalam platform itu “berada di bawah 1% berbanding purata industri”.

Dalam laporan terdahulu, FMT menghubungi seorang rakan kongsi-pemandu Grab yang mendakwa beliau menjadi mangsa aktiviti penipuan dalam platform itu.

Lelaki yang tidak mahu dikenali itu berkata, rakan kongsi-pemandu tidak jujur biasanya mencuri tempahan bertambang tinggi saja.

“Ini berlaku terutamanya untuk perjalanan jauh yang tambang biasanya melebihi RM30.

“Pernah sekali saya menerima satu tempahan dari Bangsar ke Banting yang menunjukkan tambang RM70, tetapi ia dibatalkan selepas 15 hingga 30 saat.”

Beliau berkata, 4 kali tempahannya dicuri dalam 2 bulan lepas.

Bagaimanapun, Grab menafikan perkara itu boleh berlaku akibat penggunaan teknologi anti-penipuan.

“Tidak mungkin kerja yang diberikan itu dicuri atau dipindahkan kepada rakan kongsi-pemandu lain, dengan teknologi anti-penipuan canggih kami.

“Kami turut menggunakan model pembelajaran mesin memproses berjuta-juta data tempahan dalam masa nyata untuk mengesan corak penipuan.”

Grab berkata, mereka boleh meramalkan perjalanan mana yang “berisiko tinggi” dan mencegah kebanyakan perjalanan berisiko atau dicuri daripada berlaku terlebih dahulu.

“Kami menggunakan sistem amaran dan bekerjasama rapat dengan komuniti rakan kongsi-pemandu kami untuk mendidik mereka yang alat sedemikian tidak adil serta berisiko,” katanya sambil menambah program pemberi maklumat juga memberi ganjaran kepada rakan kongsi-pemandu yang memaklumkan syarikat mengenai sebarang amalan haram.

“Ini membolehkan pemandu mengambil bahagian secara langsung dalam membanteras penipuan pemandu dengan melaporkan aktiviti penipuan mencurigakan ketika ia berlaku.”

Laporan awal melaporkan aplikasi Grab digodam. Grab menjelaskan perkara tersebut dalam laporan susulan. Kami sudah menyunting laporan ini dan memohon maaf sekiranya laporan awal menyebabkan salah faham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.