
“Badan kehakiman tidak boleh dianggap hanya sebagai ‘rubber stamp’ bagi badan eksekutif melalui badan perundangan,” kata Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar.
Beliau memberi respons terhadap keputusan majoriti 8-1 oleh Mahkamah Persekutuan minggu lepas yang dilihat menunjukkan bahawa kesemua 3 cabang kerajaan, iaitu Parlimen, badan eksekutif dan badan kehakiman adalah setaraf.
“Ini tidak tepat kerana perlembagaan memberi kuasa kepada badan kehakiman yang bebas untuk memastikan 2 badan kerajaan yang lain sentiasa disemak,” katanya.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang membacakan keputusan majoriti itu berkata, Parlimen mempunyai kuasa perundangan untuk menetapkan hukuman bagi sesuatu kesalahan, termasuk penetapan hukuman mati mandatori.
“Badan kehakiman mesti menghormati hak Parlimen. Keputusan kehakiman yang menggugat bidang kuasa Parlimen yang sah akan memporak-perandakan kedaulatan undang-undang.
“Mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk menjunjung perlembagaan. Hakim perlu menahan diri dan menolak percubaan untuk menceroboh bidang yang ditetapkan untuk cabang kerajaan yang lain,” tambah Azahar.
Keputusan itu dibuat berikutan penolakan cabaran undang-undang berhubung keesahan hukuman mati mandatori dari sudut perlembagaan yang difailkan oleh 4 perayu, iaitu P Pubalan, warga Peru Jorge Crespo Gomes dan rakyat Afrika Selatan Letitia Bosman dan Benjamin William Hawkes.
Empat perayu itu berkata, hakim sepatutnya diberi pilihan untuk mengenakan hukum mati atau penjara berdasarkan fakta dan hal keadaan bagi setiap kes.
Hakim Nallini Pathmanathan yang menentang keputusan itu berkata, hukuman mati mandatori yang dikenakan ke atas penyeludupan dadah atau membunuh adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana hak untuk hidup dan perlindungan sama dalam undang-undang telah dilanggar.
Syed Iskandar berkata, hakim majoriti bergantung pada kes Pendakwa Raya lwn Kok Wah Kuan untuk menetapkan bahawa kuasa untuk menghukum terletak pada Parlimen, tetapi mengabaikan keputusan dalam Majlis Privy membabitkan kes Pengarah Pendakwa Raya lwn Mollison.
Ditetapkan bahawa kuasa untuk menjatuhkan hukuman dan kuasa untuk menetapkan ukuran hukuman merupakan sebahagian daripada kuasa kehakiman.
Beliau berkata, hakim majoriti silap dengan bergantung kepada kes Australia kerana perlembagaan negara itu tidak mempunyai bab berkaitan hak asasi seperti Malaysia.
Beliau berkata, hakim majoriti bergantung pada kes Ong Ah Chuan lwn Pendakwa Raya, tetapi Majlis Privy tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Peguam Jayaseelan Anthony berkata, kesan daripada keputusan majoriti itu telah mengurangkan peranan mahkamah dalam menyemak keterlanjuran badan perundangan.
Beliau berkata, keputusan itu memintas keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan dalam kes Alma Nudo Atenza lwn Pendakwa Raya tahun lepas yang menyebut bahawa kesahihan undang-undang bergantung pada kesaksamaan dan keadilannya.
“Hakim majoriti telah melemahkan keputusan sebulat suara panel 9 hakim tersebut,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu tidak melepaskan tugas Mahkamah Persekutuan untuk menentukan bahawa undang-undang itu adil atau sebaliknya dengan menetapkan bahawa individu yang dijatuhi hukuman mati mempunyai peluang untuk memohon pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.
Peguam A Srimurugan berkata, keputusan majoriti itu merupakan langkah mundur dalam pembangunan undang-undang perlembagaan, terutamanya berhubung peranan hakim dalam melindungi hak asasi rakyat.
“Tiada keputusan mutlak untuk selama-lamanya. Keputusan minoriti Nallini merupakan obor harapan kerana peguam boleh merayu kepada mahkamah tertinggi lain bahawa ia merupakan pendapat undang-undang yang tepat,” katanya.
Srimurugan berkata, sejarah menunjukkan keputusan minoriti di mahkamah tertinggi di India dan UK diterima oleh panel hakim lain beberapa tahun kemudian, walaupun melalui keputusan sebulat suara atau majoriti.