
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua 5 kes baru itu ialah kes import membabitkan 2 warganegara dan 3 warga asing.
Katanya, kluster import baru itu dinamakan kluster Alam membabitkan sebuah kapal di Bintulu, Sarawak dengan 4 daripada 5 kru disahkan positif Covid-19, manakala seorang lagi masih menunggu keputusan makmal.
“Kapal di mana mereka bertugas ini mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Mereka sedang dirawat di Hospital Bintulu. Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import terpencil di sebuah kapal.”
Beliau berkata, 2 daripada 4 anak kapal itu ialah warganegara dan 2 lagi warga asing.
Katanya, satu lagi kes baru membabitkan seorang warga Bangladesh di Selangor.
Beliau berkata, pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat sedang dijalankan.
Sementara itu, Hisham berkata, 7 pesakit sembuh hari ini, manakala 183 pesakit masih dirawat di seluruh negara dengan 7 daripadanya di unit rawatan rapi dan 4 orang memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlahnya kekal 125 orang.
Seramai 8,932 daripada 9,240 pesakit Covid-19 sembuh setakat ini.