
Kekocohan berlaku apabila wakil pembangkang meminta Speaker Azhar Harun mengambil tindakan terhadap Najib kerana mengelirukan rakyat.
“Kenyataan YB Pekan mengelirukan rakyat, Dewan Rakyat masih membahas RUU Covid-19 hari ini tapi Pekan telah keluarkan kenyataan di Facebook beliau 2 kali kata wakil rakyat pembangkang semua menolak RUU itu,” kata Hannah Yeoh (PH-Segambut).
Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) menambah sambil berkata hal itu menunjukkan bekas perdana menteri berkenaan tidak tahu RUU apa yang beliau undi semalam.
Azhar kemudian membalas, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan dan membetulkan hantaran Facebook yang dibuat oleh Najib.
“Apa-apa yang dibuat ahli Parlimen di luar dewan bukan mengenai peraturan dewan maka saya tidak boleh membuat apa-apa keputusan mengenainya.
“Saya pun tidak baca, saya tidak tahu sama ada ia (Najib) berbohong atau tidak, bukan kuasa saya nak perbetulkan apa-apa yang dibuat di luar dewan,” katanya.
Keadaan semakin panas apabila Hanipa Maidin (PH-Sepang) membantah alasan Azhar dan menegaskan Speaker memang memiliki kuasa yang diperlukan untuk mengambil tindakan.
“Speaker boleh ambil tindakan, kalau YB Speaker boleh tulis surat kepada mahkamah mengapa tidak boleh tulis surat kepada YB Pekan,” katanya.

Azhar kemudian menegaskan tindakannya menulis surat kepada wakil rakyat yang mempunyai kes mahkamah hadir ke Dewan Rakyat tidak ada kaitan dengan isu hantaran Najib di Facebook semalam.
“YB Sepang itu (tulis surat kepada mahkamah) tidak ada kena mengena, saya menulis surat kepada mahkamah untuk menyamatarafkan kuasa Parlimen bersama dengan kehakiman bersama dengan eksekutif, YB sepatutnya berbangga saya buat demikian kerana saya beri hak percakapan dan kehadiran YB di dewan ini,” katanya merujuk kepada tindakannya menulis surat kepada mahkamah sebelum ini bagi membolehkan Najib yang berdepan pendakwaan di mahkamah hadir ke sidang Parlimen.
Azhar sekali lagi menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada Najib.
“Apa yang dikatakan Lembah Pantai, Pekan tulis sesuatu di Facebook, saya belum baca tapi hujahnya (Fahmi) apa yang dikatakan di Facebook (Najib) tak betul.
“Apa kuasa saya nak betulkan apa yang dia (Najib) buat,” katanya.
Hanipa sekali lagi bertegas yang Azhar mempunyai kuasa dan mendesak supaya tindakan diambil terhadap Najib, menyebabkan Speaker mengarahkan ahli Parlimen Sepang itu menulis surat kepadanya dengan membuktikan dirinya mempunyai hak bertindak.
Selepas berlaku pertikaman lidah, Azhar mengarahkan Hanipa duduk dan mematuhi peraturan dewan dengan tidak membuang masa Parlimen kerana isu lebih besar melibatkan Covid-19 sedang dibahaskan.
“Sepang kita tidak ada masa, kita ada agenda lebih besar, YB cakap soal peraturan tapi YB sendiri tidak ikut peraturan. Peraturan cakap kalau saya bercakap YB kena diam.
“YB tulis surat kepada saya, tunjuk kuasa saya, kita tidak ada masa, isu Covid perkara lebih besar, saya akan beri pertimbangan bila YB tulis surat,” katanya.
Ketegasan Azhar disokong Abdul Azeez Abdul Rahim (BN Baling) yang menyifatkan Hanipa cuba membazir masa Dewan Rakyat.
Najib menerusi kenyataan di Facebooknya semalam mendakwa, pembangkang berusaha menggagalkan “belanjawan Prihatin” kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi daripada krisis Covid-19 apabila menolak usul RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.
Semalam, RUU itu diluluskan dengan 111 undi menyokong berbanding 106 membantah secara pengundian belah bagi.