Turunkan cukai takkan jejas jualan rokok haram, syarikat tembakau beritahu Putrajaya

Turunkan cukai takkan jejas jualan rokok haram, syarikat tembakau beritahu Putrajaya

Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke berkata, pengurangan jualan rokok haram sebanyak 50% akan segera mengembalikan sekurang-kurangnya RM1 bilion hasil kepada kerajaan.

Kajian Rokok Haram yang dijalankan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia menunjukkan anggaran 12.2 bilion batang rokok seludup dijual dan digunakan di Malaysia pada 2019.
PETALING JAYA:
Mengurangkan cukai tidak dapat menangani jualan rokok seludup, kata ketua sebuah syarikat tembakau utama di sini.

“Dianggarkan dengan pengurangan RM2 duti eksais bagi setiap bungkus rokok, sebagai contoh, kerajaan akan hilang kira-kira RM600 juta cukai pendapatan setahun.

“Sebaliknya, pengurangan jualan rokok haram sebanyak 50% akan segera mengembalikan sekurang-kurangnya RM1 bilion hasil kepada kerajaan,” kata Cormac O’Rourke, pengarah urusan Japan Tobacco International (JTI Malaysia) Berhad kepada FMT.

Beliau berkata, tanpa penguatkuasaan bagi menghalang penyeludupan dan jualan rokok seludup, “sebarang langkah cukai dan harga untuk menangani isu itu dengan mudah diatasi pelarasan harga oleh perdagangan haram”.

Cormac O’Rourke

“Harga runcit minimum rokok sekarang yang ditetapkan Kementerian Kesihatan ialah RM10 sebungkus. Berdasarkan skala jualan rokok haram di Malaysia, yang tertinggi di dunia, sebarang pengurangan cukai tidak dapat menangani masalah itu kerana harga semua jenama haram di bawah paras harga minimum ini yang ditetapkan untuk produk kami.”

O’Rourke berkata, perdagangan rokok haram di Malaysia menjadi kebimbangan nasional kerana rokok seludup terdiri daripada 62.3% keseluruhan jualan pada 2019.

Berdasarkan Kajian Rokok Haram yang dijalankan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia, dianggarkan sekitar 12.2 bilion batang rokok seludup dijual dan digunakan di Malaysia tahun lalu.

O’Rourke berkata, penyeludupan dan jualan rokok haram membawa kerugian pendapatan cukai yang dianggarkan berjumlah RM5 bilion kepada kerajaan, menjejaskan jualan rokok sah dan mendedahkan pengguna kepada bahaya produk tidak terkawal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.