
Beliau sekeras-kerasnya menafikan perkara itu malah menegaskan polis tidak akan berkompromi dan mengamalkan sifar toleransi terhadap kegiatan perjudian.
“Saya sering mengingatkan semua warga polis daripada semua peringkat pengarah jabatan sehingga ke peringkat ketua polis daeah agar tidak sesekali terlibat dengan kegiatan atau sindiket perjudian.
“Dakwaan pengaruh sindiket ini hingga boleh mengaturkan pegawai-pegawai tertentu untuk menduduki sesuatu jawatan itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini.
Hamid berkata, perkara melibatkan perpindahan penempatan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah dan 10 pengarah jabatan PDRM.
“Ini termasuklah dalam menentukan kedudukan mana-mana pegawai dan anggota polis setelah diadakan perdebatan, perbincangan dan komen termasuk penilaian oleh 1 jawatankuasa dari Jabatan Pengurusan yang menilai kesesuaian dan potensi seseorang dinaikkan pangkat atau diletakkan ke satu-satu jawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamid turut memberikan arahan agar kes fail dibuat untuk diambil tindakan di bawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 terhadap mana-mana sindiket perjudian yang dikenal pasti kerap menganjurkan kegiatan perjudian haram.
Beliau berkata, agenda baik PDRM telah dirosakkan oleh sindiket ini akibat kegiatan perjudian haram mereka, walaupun amaran telah diberikan berulang-kali.
“Saya sudah keluarkan arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk melengkapkan kes fail ke atas mereka untuk diambil tindakan di bawah Poca.
“Saya sudah berikan amaran secukupnya. Sedangkan warga PDRM sendiri saya ambil tindakan di bawah Poca apatah lagi sindiket ini,” katanya.
Katanya, banyak masalah ditimbulkan oleh sindiket perjudian ini sehinggakan mampu meruntuhkan rumah tangga seseorang.
“Ada laporan diterima sampai peti ais pun digadaikan oleh seorang kaki judi. Isteri telah pun menegah perbuatannya itu namun tidak dipeduli malah dipukulnya.
“Jijiknya judi ini, saya tidak boleh terima sekiranya terdapat pegawai saya yang berkomplot dengan tauke judi,” katanya sambil menegaskan tiada sebarang tangkapan terhadap pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam kegiatan perjudian setakat ini.
Hamid berkata, beberapa pegawai dan anggota polis yang ditahan antaranya terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.
“Daripada segi judi, belum ada ditahan tetapi daripada segi kegiatan lain, ada (ditahan) kerana menyalahgunakan kuasa. Bagi yang didapati berkompromi dengan ‘tauke-tauke dadah’ sudah mula diambil tindakan.
“Ada beberapa orang diambil tindakan. Bagi perjudian pula, sebagaimana yang dikatakan tadi, polis akan ambil tindakan bawah Poca,” katanya.