Pegawai kanan tinggi polis ketuai kes Indira Gandhi

Pegawai kanan tinggi polis ketuai kes Indira Gandhi

Pegawai kanan polis itu ditugaskan untuk mengesan dan menghubungi Riduan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya juga mendapat bantuan seorang ahli politik tempatan dan seorang pegawai agama untuk membantu polis mengesan Muhammad Riduan Abdullah.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai kanan tinggi polis dilantik mengetuai kes M Indira Gandhi untuk mengesan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata pegawai kanan polis itu ditugaskan untuk mengesan dan menghubungi Riduan.

“Saya ingin menyatakan bahawa kes berkenaan saya tidak ambil remeh kerana saya pun seorang bapa maka saya amat memahami tentang perasaan kehilangan anak,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat bantuan seorang ahli politik tempatan dan seorang pegawai agama untuk membantu polis mengesan Riduan.

“Kami hendak cari jalan penyelesaian kes ini dan memberi jaminan agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Hamid mendedahkan baru-baru ini, pihaknya banyak menerima komen negatif netizen yang mengkritik tindakan polis menyiasat kes itu.

“Mereka (netizen) ingat hendak tangkap Riduan ini seperti tangkap ayam? Kami hendak tangkap seorang manusia yang sentiasa berpindah-randah di sebuah negara.

“Saya tidak boleh masuk secara tiba-tiba ke dalam negara itu dan tahan dia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan lanjut kes berkenaan.

Hamid berkata, pihaknya cuba membina keyakinan diri pada Riduan untuk tampil menyerah diri membantu siasatan polis.

“Apa yang hendak dia (Riduan) takutkan? Dia bukan menghadapi hukuman mati pun. Kami harap dia boleh berjumpa dengan pihak mahkamah demi masa depan anaknya,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Riduan dipercayai tidak berada tetap pada satu-satu tempat di luar negara.

Media sebelum ini melaporkan polis sedang meneliti langkah sewajarnya dalam usaha mempercepatkan proses menyatukan kembali Indira dengan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa, 11.

Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Riduan yang hilang bersama Prasana pada 2011.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama 3 anak guru tadika, Indira hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.