Dr M tolak RUU peruntukan semula kerajaan

Dr M tolak RUU peruntukan semula kerajaan

Keputusan tambah menteri, timbalan menteri termasuk lantik individu sebagai duta khas bertaraf menteri dianggap pembaziran ketika Covid-19

Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan mewujudkan tambahan menteri dan jawatan bertaraf menteri tidak lebih sekadar mendapat sokongan untuk memastikan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kukuh.
KUALA LUMPUR:
Blok bebas diketuai bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menolak usul Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan kerajaan menambah bilangan menteri dan timbalan menteri termasuk melantik individu sebagai duta khas bertaraf menteri dianggap sebagai pembaziran ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19.

Mahathir berkata, blok bebas mendapati pihak kerajaan menambah bilangan anggota Kabinet dengan tidak mengambil kira kemampuan kerajaan.

“Kalau dahulu Pakatan Harapan (PH) apabila tubuh kerajaan, kita kurangkan bilangan menteri dan timbalan menteri. Sekarang dengan pendapatan kerajaan kurang ditambahnya menteri sehingga lebih 30 (orang), menteri kanan dan ada individu dilantik sebagai (duta) bertaraf menteri kononnya nak jaga perhubungan tertentu dengan negara Timur dan di Timur tengah.

“Ini bermakna berbilion perlu ditambah untuk pegawai-pegawai tapi sebenarnya tidak ada kerja apa pun, tindakan ini akan mengurangkan keupayaan negara untuk menghadapi masalah kekurangan wang untuk mengurus bagi melawan Covid-19.

“Saya berpendapat tindakan ini tidak bijak, merugikan kerajaan dan tidak boleh saya sokong ia (kerana) 1 pembaziran yang dibuat secara terbuka oleh kerajaan,”katanya ketika perbahasan bagi usul RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, tindakan mewujudkan tambahan menteri dan jawatan bertaraf menteri tidak lebih sekadar mendapat sokongan untuk memastikan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kukuh.

Dalam perkembangan sama, Mahathir menegaskan kesan Covid-19 menyebabkan hasil pendapatan negara tidak dapat dikutip dan menambahkan lagi beban kewangan negara.

“Kutipan cukai tidak dapat dibuat macam biasa kesan daripada Covid-19, ini bermakna kerajaan kekurangan wang dengan teruk yang tidak pernah berlaku.

“Kerajaan sepatutnya kurangkan perbelanjaan supaya kita tidak ada defisit terlalu tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.