Terima RM76.9 juta daripada Zahid, firma guaman tak lapor pihak berkuasa

Terima RM76.9 juta daripada Zahid, firma guaman tak lapor pihak berkuasa

Tetuan Lewis & Co tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana menyangka tindakan itu tidak perlu.

Saksi pendakwaan ke-87 B Muralidharan, 62, berkata sejumlah 92 keping cek yang diterima daripada Ahmad Zahid Hamidi bagi Yayasan Al-Falah adalah dapat dipertanggungjawabkan, telus dan boleh dikenal pasti dengan mudah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu firma guaman Tetuan Lewis & Co tidak melaporkan kepada pihak berkuasa apabila menerima RM76.9 juta daripada bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi kerana menyangka tindakan itu tidak perlu.

Perkara itu didedahkan rakan kongsi firma guaman tersebut B Muralidharan, 62, yang berkata sejumlah 92 keping cek yang diterima daripada Ahmad Zahid bagi Yayasan Al-Falah adalah dapat dipertanggungjawabkan, telus dan boleh dikenal pasti dengan mudah.

“Satu fail telah dibuka untuk tujuan ini yang bermaksud ia boleh diaudit secara dalaman dan luaran,” kata Muralidharan ketika disoal balas peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid pada hari ke-36 perbicaraan ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Saksi pendakwaan ke-87 itu berkata, beliau tidak mempunyai alasan untuk menulis kepada Bank Negara Malaysia atau pihak berkuasa yang relevan berhubung sebarang kecurigaan bahawa dana tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Muralidharan bersetuju dengan Hisyam bahawa semua transaksi terbuka harus diteliti.

Ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa surat aku janji yang diberikan kepada bank telah membolehkan mereka mengesahkan lokasi dan sumber dana itu, saksi tersebut menjawab ya.

Hisyam: Dengan kata lain, adakah anda berpuas hati bahawa dana yang masuk (dalam akaun pelanggan) adalah bagi tujuan amal dan kebajikan.

Muralidharan: Ya, bagi tujuan amal dan keagamaan.

Saksi itu juga bersetuju bahawa pemilik cek terbabit boleh dikenal pasti dengan mudah daripada fail yang dibuka oleh firma guaman tersebut di bawah Yayasan Al-Falah, sebuah yayasan kebajikan milik keluarga Zahid dan adik lelakinya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang merupakan pengerusi serta pemegang amanah yayasan berkenaan.

Muralidharan berkata Yayasan Al-Falah dan Yayasan Akalbudi (milik Zahid) adalah entiti yang berasingan, bagaimanapun menegaskan ahli Parlimen Bagan Datuk itu bukan pelanggannya.

“Beliau bukan pelanggan kami meskipun wang itu dihantar oleh beliau untuk Al-Falah,” katanya.

Hisyam: Adakah anda menerima arahan daripada orang luar?

Muralidharan: Tidak.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa pada amnya orang luar tidak mempunyai kapasiti untuk memberi arahan namun tidak bersetuju apabila Hisyam menyatakan bahawa Zahid adalah orang luar.

Beliau berkata, firma guamannya tidak mempunyai surat yang menyatakan bahawa Zahid bertindak bagi pihak Yayasan Al-Falah apabila wang itu diterima daripada tertuduh.

Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 24 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.