Keluarga Anna Jenkins mungkin mohon inkues, kata peguam

Keluarga Anna Jenkins mungkin mohon inkues, kata peguam

Peguam S Raveentharan berkata penting bagi polis menyiasat kes itu dan beliau akan mengambil langkah sesuai selari dengan kemajuan siasatan.

Keluarga Anna Jenkins mengucapkan terima kasih atas bantuan rakyat Malaysia
GEORGE TOWN:
Keluarga Anna Jenkins, wanita warga Australia yang hilang di Pulau Pinang 3 tahun lalu, mengucapkan terima kasih atas sikap baik hati rakyat Malaysia yang membantu dalam memberikan bukti sehingga membawa kepada penemuan mayat mangsa.

Anak lelaki Anna Greg Jenkins dalam sidang media hari ini mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberikan bukti dan pihak berkuasa yang bertungkus-lumus menjalankan siasatan kes itu.

Beliau turut berterima kasih kepada individu yang menghulurkan bantuan ikhlas kepada keluarga berkenaan ketika menghadapi waktu sukar ini.

“Kami, keluarga Jenkins akan menuntut keadilan, kebenaran dan penyelesaian untuk ibu kami yang tercinta. Demi mendiang, demi keluarga kami dan juga kepada individu yang menunjukkan kasih sayang mereka pada waktu sukar ini dan untuk rakyat Malaysia yang baik hati,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Beliau turut menyampaikan cenderamata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee yang mewakili individu warga tempatan (nama dirahsiakan) yang menyerahkan bahan bukti milik Anna, berupa pakaian dan cebisan tulang manusia.

Pada 11 Ogos, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemui di kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, pada 24 Jun lepas sepadan dengan DNA, Anna Jenkins.

Sementara itu, peguam Greg S Raveentharan berkata Greg telah mengumpulkan barangan milik Anna semalam serta hasil ujian DNA.

Katanya, beliau akan menunggu laporan autopsi dan mungkin memohon untuk mengadakan inkues bagi menjalankan siasatan kes berkenaan, jika perlu.

“Buat masa ini, penting bagi Polis Diraja Malaysia menyiasat kes keluarga Jenkins ini dan saya akan mengambil langkah sesuai selari dengan kemajuan siasatan kes berkenaan,” katanya.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-panggilan untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.